Perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka, PDRM bersiap sedia

Piala Pestabola Merdeka 2023 dipamerkan pada sidang media Pra Perlawanan Akhir Malaysia menentang Tajikistan di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
Piala Pestabola Merdeka 2023 dipamerkan pada sidang media Pra Perlawanan Akhir Malaysia menentang Tajikistan di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuat persiapan rapi melibatkan pelbagai jabatan dan unit di bawah Sang Saka Biru itu bagi perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pertemuan antara Malaysia dan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dekat sini dijangka bakal dipenuhi oleh 45,000 penyokong yang hadir.

Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin, antara langkah keselamatan dilakukan adalah pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan di setiap pintu masuk stadium.

"PDRM tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk atau dalam kawasan pekarangan stadium.

"Antara barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium adalah mercun, suar, topi keledar, laser pen, objek tajam, senjata, minuman keras, payung, tongkat, botol air, pemetik api, rokok, vape, power bank serta bendera negara lain yang tidak terlibat dalam perlawanan akhir ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Semua pintu masuk SNBJ akan dibuka mulai jam 6 petang.

Sementara itu, beliau berkata, bagi kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan, PDRM menasihatkan orang ramai yang ingin hadir ke stadium menggunakan pengangkutan awam.

Katanya lagi, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak melalui jalan-jalan di sekitar SNBJ jika tidak bertujuan menonton perlawanan akhir tersebut bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu kata beliau, pengguna jalan raya diminta mengikuti dan mematuhi segala arahan lalu lintas daripada anggota bertugas.

Tambahnya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk bersabar, berhemah serta bertolak ansur ketika memandu, selain tidak dibenarkan sama sekali meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium.

"Tindakan saman dan tunda akan diambil terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas.

"Selain itu, penyokong juga diingatkan untuk menjaga tatasusila serta tidak melakukan sebarang provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa atau selepas tamat perlawanan.

"Sebarang pertanyaan boleh menghubungi hotline polis Cheras di talian 03-92845050/5051 atau hotline polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis berdekatan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!