Pekerja ladang disyaki dibaham buaya

Operasi SAR mangsa dilakukan oleh pasukan bomba di sepanjang Sungai Silabukan, Lahad Datu.
Operasi SAR mangsa dilakukan oleh pasukan bomba di sepanjang Sungai Silabukan, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Seorang pekerja ladang kelapa sawit hilang disyaki dibaham buaya ketika memasang pukat di Sungai Silabukan di sini pada pagi Ahad.

Mangsa Salim Sakka, 50, disedari hilang oleh anaknya selepas tidak ditemui di kawasan sungai tersebut sebelum bertindak melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.45 pagi Isnin daripada pihak polis.

Menurutnya, seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 26 kilometer dari BBP Lahad Datu.

"Menurut saksi iaitu anak perempuan mangsa, bapanya keluar untuk memasang pukat di sungai berkenaan namun bapanya tidak ditemui di lokasi.

"Mangsa disyaki dibaham buaya di sungai tersebut dan usaha mencarinya dilakukan namun tidak berhasil sebelum bertindak mendapatkan bantuan daripada pihak polis dan pasukan bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sumsoa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan dengan kaedah pencarian di atas permukaan air.

"Operasi pencarian seluas dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang namun mangsa belum ditemukan.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ditangguhkan pada 6 petang dan akan disambung semula pada esok. Maklumat juga akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!