Dua wanita maut, kereta hilang kawalan bertembung lori

Keadaan kereta remuk akibat kemalangan yang meragut nyawa dua wanita. Foto Ihsan PDRM
Keadaan kereta remuk akibat kemalangan yang meragut nyawa dua wanita. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

TEMERLOH - Dua wanita maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung sebuah lori di Kilometer (KM) 148 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, pemandu kereta Proton Inspira berusia 62 tahun dan penumpang berusia 48 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu kereta bersama penumpang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai telah hilang kawalan akibat hujan lebat, terbabas masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh lori yang datang dari arah Kuala Lumpur.

"Pemandu dan penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan.

"Pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Mazlan berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (I) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!