Bunga Raya 7s pahat sejarah ragbi Malaysia

Nik Safuan Ismade bersama barisan pemain Bunga Raya 7s yang menduduki tempat ketiga Pusingan Kedua Siri Ragbi 7s Asia di Thailand.
Nik Safuan Ismade bersama barisan pemain Bunga Raya 7s yang menduduki tempat ketiga Pusingan Kedua Siri Ragbi 7s Asia di Thailand.
A
A
A

SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara melakar sejarah tersendiri apabila memenangi pingat gangsa pada Pusingan Kedua Siri Ragbi 7s Asia di Thailand.

Skuad bimbingan Nik Safuan Ismande Nik Man itu menumbangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 21-15 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Police Tero, Bangkok pada Ahad.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad negara berjaya melunaskan dendam selepas mereka menjadi mangsa belasahan pasukan sama pada Pusingan Pertama Siri Ragbi 7s Asia Ogos lalu.

“Saya terharu dengan kesungguhan dan semangat juang tinggi dalam kalangan pemain yang tidak menghiraukan kecederaan dan kesakitan. Mereka berjuang demi Malaysia.

“Kalau diikutkan berdasarkan kedudukan ranking semasa antara Malaysia dengan UAE dan Jepun, amat jauh dari aspek persediaan, pengalaman dan kecergasan.

“Bunga Raya 7s berjaya menampilkan persembahan terpuji dengan pencapaian membanggakan. Ini menjadi satu sejarah buat arena ragbi Asia 7s negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari pada Sabtu dan Ahad itu menyaksikan Bunga Raya 7s diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

Bunga Raya 7s membuka tirai saingan tewas 5-43 kepada Hong Kong, sebelum bangkit menewaskan Korea Selatan 21-17 dan mengatasi Singapura 29-21 untuk menghuni tangga kedua kumpulan di belakang Hong Kong.

Artikel Berkaitan:

Skuad negara mara ke separuh akhir bertemu juara Kumpulan A, Jepun, namun tewas 10-24 sebelum terpaksa beraksi pada penentuan gangsa menentang UAE.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!