Pusat rujukan klasifikasi sukan para pacu pembangunan atlet
INSTITUT Sukan Negara (ISN) bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedang berbincang untuk mewujudkan sebuah pusat rujukan klasifikasi sukan para.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia sebagai usaha dalam menambah baik ekosistem pembangunan bakat bagi sukan para.
Katanya, pusat rujukan di ISN itu juga bakal meliputi projek pembangunan sistem klasifikasi kebangsaan serta elemen pendidikan dan penyelidikan.
"Setiap mereka (atlet) yang bertanding ada klasifikasi masing-masing, jadi kita nak wujudkan sokongan itu di peringkat ISN dan pencarian bakat akan berterusan untuk pastikan mereka yang mewakili Malaysia terus cemerlang," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang malam ini.
Terdahulu, Hannah memberikan amanat sebelum melepaskan seramai 153 atlet dan pegawai ke temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 28 Oktober pada satu majlis pelepasan di sini.
Sementara baki 22 atlet dan pegawai melibatkan sukan olahraga, tenis berkerusi roda dan ping-pong telah berangkat lebih awal dalam persediaan masing-masing menghadapi cabaran di Hangzhou.
Seramai 113 atlet termasuk 54 muka baharu akan menggalas cabaran Malaysia dalam 14 jenis sukan membabitkan 104 acara di Hangzhou dengan kontinjen negara menyasarkan keseluruhan 35 pingat.
Selain optimis dengan kemampuan atlet berpengalaman, Hannah berharap muka baharu yang pertama kali bakal membuat penampilan di Sukan Para Asia dapat memberikan yang terbaik serta menimba seberapa banyak pengalaman berharga.
"Saya percaya atlet para tidak akan ada isu takut dan tak dapat buat terbaik, mereka selalunya cemerlang dalam pencarian pingat," katanya.
Dalam pada itu, Hannah melihat pendekatan sasaran keseluruhan pingat dapat membantu kontinjen negara dalam mencapai kejayaan seperti yang dilakukan Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!