Kemajuan sukan satu pelaburan jangka panjang
BAJET 2024 menyaksikan industri sukan tempatan telah memperoleh peruntukan keseluruhan RM184 juta lebih rendah berbanding Bajet 2023 iaitu sebanyak RM399 juta.
Perkembangan ini merupakan sesuatu yang agak menyedihkan pada ketika kontinjen negara mengintai pingat emas pertama dari Sukan Olimpik Paris 2024.
Sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi atau hiburan semata-mata sebaliknya merupakan elemen penting dalam pembangunan sebuah negara.
Sejak zaman kuno hingga zaman moden, sukan telah menjadi tonggak dalam mewujudkan masyarakat yang sihat, aktif, dan maju.
Keberkesanan sukan dalam menyokong pembangunan negara menggambarkan betapa pentingnya peranan sukan dalam konteks sosial, ekonomi, dan budaya.
Pencapaian cemerlang dalam sukan juga membawa manfaat besar kepada negara, termasuk imej negara di mata dunia, meningkatkan pendapatan pelancongan, dan mengukuhkan identiti negara.
Tidak ketinggalan juga kepentingan sukan dapat dilihat dari aspek kesihatan, pendidikan, dan sosial dalam pembangunan sesebuah negara.
Negara maju seperti Amerika Syarikat menyediakan dana dan sokongan kewangan kepada pelbagai program dan inisiatif sukan.
Ini termasuk pembinaan dan penyelenggaraan stadium, pengiktirafan bakat, dan program sukan untuk kanak-kanak dan remaja.
Belajar dari negara maju
Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi misalnya turut mendapat manfaat pelaburan tersebut apabila ditawarkan biasiswa sukan untuk menjalani latihan profesional sekali gus menyambung pengajian di bawah kendalian Universiti Auburn, Alabama.
Peluang ini turut membolehkan Azeem Fahmi mencari slot untuk beraksi pada Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) divisyen satu yang menyaksikan persaingan dengan atlit yang berlari di bawah 10 saat.
Sejumlah besar pelaburan dalam sukan Amerika Syarikat bertitik tolak dari penglibatan menyeluruh sektor swasta.
Syarikat korporat dan agensi perniagaan begitu aktif menghulurkan penajaan bagi menyokong pasukan, liga sukan, dan atlet melalui kontrak penajaan yang mencecah nilai berbilion ringgit.
Tidak ketinggalan, sekolah-sekolah dan universiti di Amerika Syarikat melabur dalam sukan dengan membina dan mengekalkan kemudahan latihan dan persaingan yang berkualiti tinggi termasuk pembinaan stadium dan gelanggang, serta gaji jurulatih dan sokongan pasukan seperti khidmat kaunseling, fisioterapi dan urutan sukan.
Liga sukan profesional di Amerika Syarikat juga merupakan entiti perniagaan yang sangat besar, dan pelaburan dalam liga-liga ini mencatatkan jumlah yang tinggi termasuk gaji atlet, pengurusan pasukan, dan pembangunan liga.
Dokumentari David Beckham yang ditayangkan di Netflix juga merupakan bukti nyata bahawa pelaburan dalam sukan bukan sekadar omongan kosong semata.
Jumlah keseluruhan pelaburan sukan di Amerika Syarikat sukar dinyatakan dengan tepat apabila melibatkan pelbagai peringkat dan entiti berbeza.
Namun, ini adalah contoh beberapa komponen pelaburan yang mencorakkan pembangunan sukan di negara tersebut.
Justeru tiba masanya pelaburan lebih besar dilaksanakan di Malaysia sekiranya kita berhasrat melihat atlet negara mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan atlet negara lain di pentas dunia.
Usah kita bandingkan dengan Amerika Syarikat yang mungkin berada pada tahap yang berbeza, cukup sekadar meletakkan Malaysia dalam kelompok Asia Tenggara dan Asia.
Pencapaian diraih dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini dengan 32 pungutan pingat keseluruhan sememangnya mencapai sasaran ditetapkan, namun adakah itu terbaik dalam kelompok Asia Tenggara mahupun Asia?
Malaysia berada pada kedudukan ke-14 di belakang Thailand yang menghuni tangga kelapan dengan 58 pingat keseluruhan manakala Indonesia di tangga ke-13 (36 pingat keseluruhan). Kedudukan ini terlalu jauh jika ingin dibandingkan dengan tiga kuasa besar Asia, China, Korea Selatan dan Jepun.
Pentingnya teknologi, penyelidikan sukan
Dalam perkembangan sukan, beberapa elemen utama perlu diberi perhatian kerajaan supaya mencapai prestasi tinggi bagi menyamai negara-negara maju yang telah menggabungkan teknologi dan penyelidikan dalam sektor sukan mereka.
Kunci kejayaan dalam mencapai kemajuan sukan sejajar dengan negara-negara maju adalah integrasi teknologi dan penyelidikan dalam pelbagai aspek sukan.
Ini termasuk pemantauan prestasi atlet melalui teknologi, analisis data sukan, dan penyelidikan saintifik untuk meningkatkan latihan dan diet atlet.
Dengan teknologi dan penyelidikan yang berkembang pesat, Malaysia boleh memanfaatkannya untuk menghasilkan atlet yang lebih baik dan mencapai kecemerlangan dalam sukan.
Analisis prestasi atlet menggunakan sensor dan teknologi video sebagai pemantauan untuk merakam data semasa latihan dan pertandingan sangat penting untuk membantu jurulatih dan atlet menilai dan meningkatkan prestasi mereka, serta pada masa sama menganalisis strategi lawan.
Pemantauan kesihatan atlet juga aspek penting dalam kejayaan sukan. Teknologi pemantauan kesihatan seperti peralatan pemantauan denyutan jantung, tidur, pemakanan, dan kecederaan membantu dalam menjaga kesihatan atlet, mengurangkan risiko cedera, dan memaksimumkan prestasi mereka.
Dalam aspek lain, penggunaan reka bentuk dan percetakan 3D juga amat diperlukan khususnya untuk menghasilkan peralatan sukan yang lebih cekap, seperti kasut sukan yang disesuaikan dengan anatomi kaki atlet.
Sistem kawalan kualiti udara turut membantu menilai tahap pencemaran udara dan memastikan keselamatan atlet dan penonton, manakala elemen kecerdasan buatan digunakan untuk mengoptimalkan strategi pertandingan dan latihan, serta meramal prestasi atlet.
Turut perlu diberikan perhatian ialah teknologi Anti-Doping khusus untuk mengesan unsur yang melanggar peraturan anti-doping dan menjaga kejujuran dalam sukan.
Prasarana, pembangunan akar umbi
Prasarana yang baik secara tidak langsung memberi atlet akses kepada kemudahan berkualiti yang sesuai dengan latihan dan pertandingan.
Dengan prasarana yang bersaiz antarabangsa, Malaysia boleh menjadi tuan rumah kepada pertandingan dan kejohanan antarabangsa yang akan membawa faedah kepada pertumbuhan ekonomi dan pengiktirafan kepada negara dan pada masa sama memajukan lagi sektor pelancongan sukan negara.
Penyediaan prasarana yang lengkap juga dapat mencipta wadah pembangunan bakat terutama di peringkat akar umbi untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu. Kanak-kanak dan remaja mendapat peluang untuk berkembang dalam sukan yang bersesuaian.
Ini secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk menyertai sukan dan mencapai kejayaan dalam bidang yang mereka minati.
Kesimpulannya, pembangunan teknologi, prasarana, dan pencarian bakat baharu adalah tiga elemen penting yang perlu diberi perhatian dalam rencana pembangunan sukan negara dan merupakan langkah penting dalam mencapai prestasi sejajar dengan negara-negara maju.
Pastinya ia memerlukan komitmen dan pelaburan dari kerajaan, swasta dan agensi sukan tempatan.
Sebagai bekas atlet, saya percaya, pelaburan dan sokongan yang berterusan dalam tiga aspek ini membolehkan negara boleh bergerak ke hadapan dalam dunia sukan dan mencapai prestasi yang lebih cemerlang.
Teruslah menyokong industri sukan, dan marilah kita bersama-sama mewujudkan sebuah negara yang cemerlang melalui semangat sukan yang menghubungkan kita sebagai satu.
Nazmizan Muhammad (Olympian 2004)
Pensyarah
Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!