Dua warga Sweden ditembak mati di Brussels
BRUSSELS - Dua rakyat Sweden ditembak mati di ibu negara Belgium, Brussels, pada petang Isnin dan suspek dilaporkan melarikan diri selepas melepaskan tembakan, menurut stesen penyiaran kerajaan, VRT.
Motif kejadian yang berlaku semasa Belgium menjadi tuan rumah bagi perlawanan bola sepak kelayakan Euro 2024 menentang Sweden, bagaimanapun, masih belum jelas.
Serentak itu, perlawanan bola sepak kelayakan Euro 2024 yang berlangsung di bandaraya ini dibatalkan, kata UEFA. Selepas serangan tersebut, tahap ancaman keganasan di Brussels dinaikkan ke tahap 4 iaitu, tahap tertinggi.
Belgium secara keseluruhannya sebelum ini berada pada tahap 2.
Ketika ini, polis meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar bandaraya, kata Datuk Bandar, Philippe Close dalam hantarannya di platform X.
"Selepas penembakan di Brussels, polis meningkatkan kawalan untuk menjamin keselamatan di sekitar ibu negara kita bekerjasama dengan Menteri Dalam Negeri," kata Close.
"Saya berada di pusat krisis... untuk memastikan koordinasi."
Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo turut memuat naik kenyataan di platform X dengan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
"Ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa serangan yang keji di Brussels ini. Saya sedang memantau situasi ini dengan rapat bersama Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri dari Pusat Krisis Belgium. Kami mengawasi situasi ini dan meminta penduduk Brussels untuk berhati-hati."
Pusat Krisis negara itu juga menghantar kenyataan di platform X: "Malam ini, satu penembakan berlaku di Brussels. Terdapat mangsa yang terkorban. Dengan penuh hormat, kami meminta agar tiada gambar atau video yang berkaitan dengan insiden ini dikongsi." - Agensi/Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!