Persatuan Muay Thai Terengganu lancar jualan amal bantu Palestin

Najmi (dua dari kanan) ketika pelancaran baju T-Fight x Save Palestine.
Najmi (dua dari kanan) ketika pelancaran baju T-Fight x Save Palestine.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Muay Thai Terengganu dengan kerjasama Terengganu Fight Festival (T-Fight) melancarkan jualan amal baju-T sebagai usaha mengumpul dana kepada rakyat Palestin.

Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu, Najmi Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan penjualan 50,000 helai baju-T dalam tempoh dua minggu bagi mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM250,000 untuk disalurkan segera kepada rakyat Palestin.

"Baju-T itu boleh didapati menerusi ejen di seluruh negara atau beli secara dalam talian menerusi akaun Facebook rasmi T-Fight.

"Kita cetak baju bermodalkan RM20 dan jual dengan harga RM25. Keuntungan sebanyak RM5 itu kita akan serah semua kepada tabung Palestin.

"Hasil keuntungan daripada jualan baju-T berkenaan akan disumbangkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berwibawa serta dipercayai dalam menyalurkan bantuan ke Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran baju T-Fight x Save Palestine menerusi program 'T-Fight Aid Palestine Taufan Al-Aqsa' di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, ia juga sebagai tanda solidariti rakyat dalam menyokong bantahan terhadap kekejaman dilakukan rejim Zionis kepada Palestin.

"Dengan konsep menjual sambil menderma bukan sahaja dapat memberi sumbangan duit kepada rakyat di sana malah sebagai tanda protes kepada rejim Israel menerusi pemakaian baju-T yang bertulis Save Palestin," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!