Mr Malaysia intai podium kejohanan dunia
MR Malaysia 2023 R Kumareswarren menyasarkan untuk meraih kedudukan tiga teratas pada Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 berlangsung di Gangwok, Korea Selatan pada 6 hingga 12 November depan. Atlet berusia 38 tahun itu berkata, kemenangan diperoleh semalam, merupakan pencapaian istimewa setelah banyak berkorban dari segi kewangan dan disiplin pemakanan yang ketat untuk berada pada tahap optimum.
"Saya sangat gembira kerana berjaya bergelar Mr Malaysia selepas banyak kerja keras dilalui. Walaupun pernah menyertai dan memenangi pelbagai kejohanan lain, gelaran ini sangat istimewa buat saya selepas menjalani latihan dua kali sehari sejak awal tahun ini.
"Sasaran seterusnya adalah Kejohanan Dunia, selepas berjaya mendapat kedudukan lima teratas pada penampilan pertama di Thailand, tahun lepas. Saya bersedia untuk menerima saingan sengit daripada atlet dari seluruh dunia, terutamanya Thailand, Eropah, China dan India,” katanya kepada Bernama.
Pada Kejohanan Bina Badan Kebangsaan ke-52 semalam, Kumareswarren telah memperagakan jisim otot yang 'mengancam’ untuk muncul juara kategori heavyweight, sekali gus melayakkan diri ke pusingan Juara antara Juara sebelum dinobatkan sebagai Mr Malaysia 2023.
"Untuk berada dalam bidang ini bukan satu perjalanan mudah kerana saya perlu mengeluarkan banyak wang yang sepenuhnya ditanggung saya sendiri...perbelanjaan terutama dari segi makanan dan suplemen tapi ini merupakan minat saya jadi kena bagi betul-betul.
"Setiap hari saya ada enam hidangan yang akan saya siapkan sendiri dan saya kena kira dan ukur pengambilan kalori, tiada gula dan makanan bergoreng hanya beras perang, dada ayam, sayur dan oat sahaja sebagai bekalan makanan saya,” katanya.
Kumareswarren berkata, beliau juga amat bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan dan galakan daripada ahli keluarga sejak awal penglibatannya dalam sukan bina badan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!