Bayar pampasan jika mahu pemain Akademi Mokhtar Dahari

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan meletakkan tanda harga kepada kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk mewakili pasukan masing-masing pada masa akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun menegaskan, tanda harga itu bukan harga jualan pemain, sebaliknya insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi berkenaan yang mendidik dan membangunkan bakat baharu pemain bola sepak tempatan.

Katanya Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga mempunyai skema berhubung pemain yang dibentuk daripada program pembangunan bakat dan tanda harga itu berkemungkinan dilaksana tahun hadapan.

"Sebelum ini mereka (kelab) lebih banyak berurusan dengan ibu bapa dan keluarga untuk mendapatkan pemain, tetapi kini ia perlu melalui akademi (AMD).

"Insentif ini seperti suatu bentuk pampasan bagi akademi, yang telah berusaha membangunkan pemain itu dan ia akan digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan pemain baharu lain," katanya kepada pemberita di AMD di sini hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, MSN yang menguruskan projek pembangunan itu, percaya mekanisme baharu tersebut dapat membantu hasrat AMD melahirkan pemain berkebolehan yang berupaya mewakili negara dan kelab pada masa hadapan.

Berikutan ketetapan tersebut, pemain AMD tidak lagi boleh dipancing secara percuma oleh mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.

Mengulas mengenai Kejohanan Supermokh 2019 yang menutup tirai semalam, Ahmad Shapawi berkata, penganjuran tahun ini menampilkan kelainan kerana memberi tumpuan kepada kelab dari Asia selain pertama kalinya diadakan di luar Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Kejohanan kali ini merupakan pendedahan kepada pemain AMD untuk bersaing di peringkat Asia bagi melihat kualiti pertandingan dan pemainnya sebelum kembali menjemput pasukan dari Eropah dan Asia pada tahun hadapan," katanya.

Sebagai rekod, penganjuran kali ini memasuki edisi kelima dan ia kali pertama dianjurkan di luar kawasan Lembah Klang iaitu di AMD di Gambang, Pahang.

Kali terakhir Piala Supermokh diadakan pada 2017 yang menyaksikan tiga wakil negara mara ke final setiap kategori, namun masing masing tunduk kepada pasukan B-14 Arsenal, pasukan B-13 AZ Alkmaar dan pasukan B-12 Sporting CP. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!