Pemuda maut, kereta dipandu langgar pokok
JOHOR BAHRU - Seorang pemuda maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran restoran makanan segera di Jalan Austin 1, Bandar Dato Onn di sini pada pagi Selasa.
Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, mangsa dikenali sebagai David Tan Cher Long disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Noor Azhan Ahmad berkata, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton X50 telah terbabas melanggar sebatang pokok.
"Terdapat seorang pemandu lelaki berusia 33 tahun cedera, namun tidak tersepit dalam kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan 'spinal board' sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 3.08 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!