Musim tengkujuh: Tiada kenaikan harga ikan di Terengganu

Harga ikan di Terengganu sudah turun di mana ikan selayang boleh dibeli dengan harga RM10 bagi tiga kilogram. - Gambar hiasan
Harga ikan di Terengganu sudah turun di mana ikan selayang boleh dibeli dengan harga RM10 bagi tiga kilogram. - Gambar hiasan
A
A
A

MARANG - Tiada kenaikan harga ikan di negeri ini walaupun berdepan musim tengkujuh, kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima mendapati harga ikan menurun dan situasi tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Sekarang saya mendapat maklum balas harga ikan sudah turun di mana ikan selayang sudah boleh dibeli dengan harga RM10 bagi tiga kilogram.

"Ia merupakan suatu yang tak pernah berlaku bagi tempoh agak lama untuk konteks di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar Program Melabuh Tukun Tiruan X-To-Reef di Jeti Pelancongan di sini pada Selasa.

Azman (depan, tiga dari kanan) semasa Program Melabuh Tukun Tiruan X-To-Reef di Jeti Pelancongan Marang.
Azman (depan, tiga dari kanan) semasa Program Melabuh Tukun Tiruan X-To-Reef di Jeti Pelancongan Marang.

Mengulas lanjut, Azman berkata, tangkapan ikan meningkat pada musim tengkujuh kerana jumlah ikan akan lebih banyak terutama di tangkapan zon A dan zon B.

"Bulan September, Oktober dan November ialah musim tangkapan meningkat. Musim ini ikan dari perairan laut dalam akan hampir ke pesisir pantai.

Artikel Berkaitan:

"Jadi ia fenomena yang biasa (spesies ikan laut dalam banyak) berlaku pada musim tengkujuh. Sebab itu kita sangat menitikberatkan supaya tidak berlaku kaedah tangkapan yang merosakkan sumber di kawasan pesisir pantai ketika musim berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman menyatakan penurunan harga disebabkan peningkatan jumlah pendaratan ikan sebanyak 99 peratus di Terengganu pada tahun ini berbanding tahun lepas.

"Sebanyak 70 peratus daripada peningkatan tersebut (99 peratus) disumbang oleh hasil tangkapan nelayan zon A dan zon B iaitu jarak lima hingga 12 batu nautika dari pantai atau pulau.

"Sebab itu, kita fokus pada program memperkayakan perikanan di zon A dan zon B," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!