Kenaikan peruntukan emolumen untuk J-KOM tidak rasional - Gerakan

Wendy
Wendy
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan kenaikan peruntukan emolumen sebanyak 39 peratus kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dalam Belanjawan 2024 sebagai tidak rasional.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam mendesak kerajaan untuk segera menghentikan perbelanjaan yang tidak munasabah itu.

Menurut Wendy, tindakan itu bukan sahaja memberi beban kepada kewangan negara tetapi juga tidak adil kepada pembayar cukai yang kini terperangkap dengan kenaikan harga barang keperluan asas.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gerakan berkata, matlamat J-KOM adalah untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi komuniti yang berkualiti tinggi, adil, seimbang dan pelbagai untuk rakyat.

"Kalau kita lihat J-KOM dalam tempoh pentadbiran kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim telah menjadi alat propaganda dan lidah kerajaan semata-mata.

“Kandungan yang dihasilkan dan disiarkan oleh J-KOM kebanyakannya hanya memuji dasar dan pemimpin kerajaan. Malah idea dan cadangan pembangkang dikritik dan dihalang.

"Ini bermaksud bahawa J-KOM tidak memainkan peranannya atau kerja yang sepatutnya dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wendy berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, gabungan parti itu menyifatkan J-KOM sebagai 'pembaziran dana awam' dan 'mencemarkan kebebasan media'.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, selepas menjadi kerajaan, PH bukan menghalang penubuhannya malah turut menambah peruntukan dalam kategori emolumen yang besar kepada J-KOM.

"Jelas dan terang perangai PH hipokrit! Sanggup menggadaikan prinsip serta kekecewaan rakyat demi kuasa," katanya.

Sehubungan itu, Wendy menyeru kerajaan untuk segera mengurangkan peruntukan emolumen yang tidak logik kepada J-KOM dan menjalankan audit menyeluruh serta penyiasatan yang adil dan tulus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!