Mujur ada pendrive...
MELAKA TENGAH - Seorang penuntut universiti memperoleh semula dompetnya yang hilang apabila dihubungi seorang lelaki selepas menjumpai nombor telefonnya dalam pemacu pena (pendrive).
Penuntut Universiti Teknologi Mara (UITM) Lendu di Alor Gajah, Ameylia Nabila Azman, 24, berkata, lelaki bernama Syahmi itu berjaya mencari nombor telefonnya melalui pemacu pena yang turut hilang bersama dompet berkenaan.
"Dia bukan saja jujur tapi bijak. Kalau bukan kerana pendrive yang terdapat di dalam dompet ini berkemungkinan sukar untuk orang yang menemuinya untuk hubungi saya.
Syukur Alhamdulillah dapat semula dompet ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Ameylia Nabila berkata, dia menyedari dompetnya hilang pada jam 7 malam semalam sebaik tiba di kedai pakaian tempatnya bekerja di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini.
“Saya teringat dompet tertinggal di atas bumbung kereta ketika mahu keluar dari rumah nenek. Agaknya dompet saya jatuh apabila kereta bergerak dan saya langsung tidak perasan sehinggalah tiba di kedai.
"Saya cepat-cepat balik ke rumah nenek untuk cari dompet termasuk di sepanjang jalan yang saya lalu tapi tak jumpa," katanya.
Menurutnya, dia hampir berputus asa dan merasakan dompetnya tidak akan dijumpai kerana di dalamnya berisi wang RM1,200.
"Tapi, kira-kira jam 8.30 malam saya terima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang beritahu jumpa dompet.
“Saya kemudian datang ke rumahnya di Merlimau dan apabila kami berbual katanya dia tunggu di lokasi dompet saya dijumpai kira-kira 10 minit jika saya datang semula," katanya.
Katanya, lelaki itu beredar selepas tiada siapa datang atau mencari dempet itu dan kemudian mula mencari nombor telefon namun di dalam beg itu namun gagal.
“Dia balik dan periksa isi kandungan dompet saya untuk cari nombor yang boleh dihubungi. Katanya dia hampir putus asa tapi terlintas untuk buka pendrive saya yang terdapat dalam dompet.
"Dia berjaya temui nombor telefon saya pada dokumen ‘resume’,” katanya.
Kata Amyelia, dia tidak menyangka perkongsian ceritanya itu tular di Facebook dan tujuannya sebagai penghargaan atas kejujuran lelaki berkenaan dan berharap ia dapat menjadi contoh orang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!