IKIM tarik diri sertai Pesta Buku Frankfurt
SHAH ALAM - Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil pendirian dan keputusan menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt (Frankfurter Buchmesse) 2023 yang dijadual berlangsung di Frankfurt, Jerman.
Ketua Pengarahnya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, keputusan itu diambil susulan tindakan penganjur yang menunjukkan sokongan secara terbuka dan sikap pro-Israel.
“IKIM sentiasa mendokong pendirian kerajaan memberi solidariti kepada seluruh rakyat Palestin dan menyatakan sokongan terhadap negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, tindakan penganjur Pesta Buku Frankfurt yang menyatakan sokongan terbuka dan bersolidariti terhadap Israel mengundang reaksi daripada persatuan penerbit buku di beberapa negara.
Kenyataan Pengarah Frankfurter Buchmesse, Juergen Boos yang mahu menjadikan suara Yahudi dan Israel kelihatan terutamanya di pesta buku nyata mengundang rasa kurang senang banyak pihak.
Selain itu, seorang penulis wanita Palestin, Adania Shibli yang sepatutnya menerima anugerah sastera bagi novelnya yang bertajuk Minor Detail iaitu satu karya terjemahan Jerman telah dibatalkan kerana perang Israel - Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!