Jangan terpedaya ejen palsu
PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menasihatkan setiap pemain supaya tidak terpedaya dengan ejen palsu.
Ia selepas seorang pemain bola sepak dari Kenya, David Agesa Amuzu yang terkandas di negara ini selepas dijanjikan oleh seorang 'ejen' peluang bermain di Liga Malaysia.
PFAM dalam satu kenyataan berkata, kisah Agesa Amuzu itu harus dijadikan pengajaran sekali gus mendidik pemain bola sepak tentang risiko yang berkaitan dengan individu yang berpura-pura menjadi ejen.
"Antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh pemain untuk memastikan kes penipuan melibatkan ejen palsu dapat dihindarkan ialah mengesahkan pendaftaran ejen dengan persatuan bola sepak atau lesen FIFA mulai Oktober 2023.
"Jangan membuat sebarang pembayaran kepada ejen sebelum menandatangani kontrak dengan kelab dan jangan menandatangani perjanjian dengan ejen tanpa mendapatkan nasihat undang-undang terlebih dahulu," kata kenyataan itu.
Menurut PFAM, dalam kes Agesa Amuzu, persatuan itu dan juga Kenya Footballers Welfare Association (KEFWA), bersama sama dengan FIFPRO dan FIFPRO Afrika telah membantu pemain tersebut untuk pulang ke negara asalnya.
"Agesa Amuzu tiba di Malaysia pada 18 Mei 2023. Ejen telah memberitahunya bahawa selepas ketibaan di Malaysia, beliau perlu menghubungi seorang 'kawan', yang akan menjemputnya dari lapangan terbang untuk menguruskan penginapan dan membawanya ke kelab baru.
"Namun, individu tersebut tidak membalas sebarang panggilan atau mesej dari Agesa Amuzu.
"Selepas berada di lapangan terbang hampir sehari, Agesa Amuzu mengambil keputusan untuk mencari penginapan, dan menginap di hotel berdekatan selama beberapa hari sehingga dia kehabisan wang.
"Dia telah meninggalkan hotel dan tinggal di jalanan untuk beberapa hari, sehingga seorang lelaki menjemputnya untuk tinggal di tempatnya, dengan syarat bahawa dia membayar sebahagian dari sewa tempat tinggal tersebut," katanya.
Hasil bantuan, kedutaan Kenya di Malaysia membantu menyelesaikan masalah denda menetap melebihi tempoh yang dibenarkan dan menguruskan dokumen perjalanannya.
Agesa Amuzu telah pulang ke Nairobi pada 27 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!