Kilang punca pencemaran sungai berdepan tindakan tegas

Amirudin (empat dari kanan) bergambar sebelum upacara pecah tanah projek WTE di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram di sini pada Selasa.
Amirudin (empat dari kanan) bergambar sebelum upacara pecah tanah projek WTE di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kilang yang menyebabkan pencemaran sungai hingga mengakibatkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa industri memberi kesan buruk dan meningkatkan risiko pencemaran.

Menurutnya, kerajaan negeri serius menangani perbuatan tersebut termasuk meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang turut meningkatkan denda minimum RM200,000 dan maksimum sebanyak RM1 juta kepada pesalah terlibat.

"Ada sebahagian kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan kita harap denda setimpal ini diberikan kepada pihak terlibat sebagai pengajaran kepada pihak lain," katanya ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah pembinaan projek sisa kepada tenaga (WTE) di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram di sini pada Selasa.

Amirudin memberitahu, tindakan tegas itu juga mampu memastikan kelestarian sumber bekalan air dan air mentah berada dalam keadaan baik dan terurus.

Pada 10 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas sementara berikutan insiden pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor.

Air Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, loji terlibat ialah Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan LRA Rantau Panjang.

Pada November 2020, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 dengan meminda beberapa seksyen dan memasukkan beberapa seksyen baharu ke dalam enakmen sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!