Tukang kebun rugi lebih RM331,000 jadi mangsa pelaburan tidak wujud

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Harapan seorang tukang kebun untuk mengecapi wang keuntungan hasil pelaburan melalui satu aplikasi dalam talian lebur apabila mendapati pelaburan yang disertai itu sebenarnya tidak wujud.

Mangsa berusia 54 tahun bukan sahaja gagal menerima keuntungan malah terpaksa menanggung kerugian lebih RM331,000 apabilabsemua wang pelaburannya turut lesap.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian malang menimpa lelaki itu bermula selepas berkenalan dengan seorang individu (suspek)melalui laman sosial Facebook, Julai lalu.

Menurutnya, mangsa telah ditawarkan peluang pelaburan melalui aplikasi Tik Tok dengan hanya mengeluarkan modal mengikut nilai barang yang dijual melalui Tik Tok Shop.

"Bagi menyakinkan mangsa, suspek telah memberikan satu aplikasi untuk semakan keuntungan pelaburan yang disertai itu.

"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah membuat 25 transaksi bayaran melalui 17 akaun bank berbeza dalam tempoh 14 Ogos sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan RM331,478," katanya.

Yahaya berkata, selepas pembayaran itu dilakukan, mangsa kemudiannya berhasrat untuk mengeluarkan wang keuntungannya namun gagal berbuat demikian.

"Sebaliknya mangsa diminta menjelaskan cukai sebanyak RM130,000 sebelum dibenarkan mengeluarkan wang keuntungan pelaburan itu.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa bagaimanapun tidak membuat bayaran itu sebaliknya tampil membuat laporan polis kerana syak telah ditipu," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang bentuk pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan kes pelaburan tidak wujud.

"Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang dijanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!