Tengkorak, tulang manusia ditemui di Pantai Eye On Melaka
MELAKA - Tengkorak dan tulang dipercayai milik manusia ditemukan oleh orang awam yang berkunjung ke Pantai Eye On Melaka di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.32 petang.
Menurutnya, tengkorak dan satu tulang itu ditemui pada pasir yang dikelilingi semak kira-kira 20 meter dari arah pantai.
"Saksi memberitahu dia ternampak tengkorak di atas pasir ketika bersama seorang rakan berjalan di tepi pantai dan melalui kawasan semak berkenaan.
"Saksi juga memaklumkan tidak ternampak sebarang yang mencurigakan di sekitar tengkorak ditemui.
"Tengkorak dan tulang yang ditemui dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk siasatan. Polis juga sedang menyiasat identiti mangsa dan rangka badan yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Christopher berkata, hasil pencarian Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di kawasan itu menjumpai seluar jeans separuh tertimbus di dalam pasir berhampiran tulang tersebut.
"Seluar jeans berkenaan diambil untuk siasatan lanjut dan siasatan awal diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan saudara-mara atau mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berdekatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pertemuan tengkorak itu.
Sejak semalam, tular di aplikasi TikTok berhubung klip video penemuan tengkorak berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!