PPN Sabah cadang kerajaan salur peruntukan secara terus

Mohd Nazri Abdullah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat AJP Pertubuhan Peladang Negeri Sabah di Kota Kinabalu.
Mohd Nazri Abdullah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat AJP Pertubuhan Peladang Negeri Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mencadangkan agar peruntukan untuk Pertubuhan Peladang di Sabah dan Sarawak disalurkan terus kepada kedua-dua negeri mulai tahun depan berbanding melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ketika ini.

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata, pendekatan itu sejajar dengan kesungguhan kerajaan Persekutuan menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan keperluan Sabah dan Sarawak dapat dipenuhi.

Menurutnya, usul mengenai kaedah penyaluran peruntukan kepada kedua-dua negeri di borneo itu diputuskan sebulat suara oleh perwakilan ketika Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah yang diadakan pada Jumaat lalu.

"PPN Sabah baru selesai Mesyuarat Agung Tahunan pada Jumaat lalu yang mana semua perwakilan dari 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan PPN mengusulkan bahawa bermula tahun depan semua peruntukan kepada Sabah dan Sarawak harus dipertimbangkan untuk diberikan terus kepada PPN negeri itu sendiri berbanding sekarang dikendalikan oleh Nafas.

"Ini sejajar dengan komitmen kerajaan seperti disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan mempertimbangkan apa saja untuk Sabah dan Sarawak sesuai dengan MA63," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Sabah, pada Selasa.

Tambah Mohd Nazri lagi, penyaluran peruntukan secara terus kepada PPN Sabah dan Sarawak itu bagi memastikan bantuan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan disalurkan dengan lebih cepat agar manfaatnya dapat dinikmati segera oleh golongan sasar.

"Perdana Menteri pasti memahami keperluan golongan peladang, penternak dan nelayan lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak yang sememangnya memerlukan lebih banyak pembelaan dalam usaha menaikkan taraf hidup mereka.

"Malah golongan peladang, penternak dan nelayan di Sabah dan Sarawak sudah pasti menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan dengan lebih cepat berbanding melalui Nafas yang dilakukan ketika ini. Disamping itu juga dapat menjimatkan belanja kerajaan dari segi kos logistik penghantaran input dari Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan menulis surat kepada Perdana Menteri dan kita yakin beliau akan memberi pertimbangan terhadap perkara ini.

"Kalau ia terlaksana, ini akan mempercepatkan bantuan turun kepada masyarakat yang menerimanya kerana ia dibuat dan diproses di Sabah dan Sarawak sebelum dihantar kepada penerima," jelasnya.

Sebelum itu, pada Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah Kali Ke-35 Tahun 2023 yang diadakan pada 13 Oktober lalu, beberapa usul diluluskan perwakilan dalam menambah baik keberkesanan badan berkenaan di negeri ini.

Antaranya, memohon kepada kerajaan, melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menganugerahkan pelaksanaan kerja kontrak pembekalan baja dan racun di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) serta Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) di negeri ini kepada PPN Sabah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!