Ancaman bom: Polis Johor dialog dengan pusat beli belah, hotel

Kamarul Zaman menyampaikan bantuan beras kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Beras Yayasan Sultan Ibrahim Johor di IPK Johor, Johor Bahru pada Selasa.
Kamarul Zaman menyampaikan bantuan beras kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Beras Yayasan Sultan Ibrahim Johor di IPK Johor, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor akan mengadakan sesi dialog dengan pengurusan pusat beli belah dan hotel-hotel utama di negeri ini susulan kejadian ancaman bom pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dialog tersebut bertujuan meningkatkan aspek keselamatan premis-premis terlibat.

"Tujuannya juga untuk mengemas kini elemen-elemen keselamatan yang boleh ditinggalkan di premis masing-masing.

"Keadaan sudah tenang jadi kita tak perlu panaskan lagi keadaan, yang penting kita ambil langkah pencegahan untuk tingkatkan aspek keselamatan termasuk memanfaatkan litar kamera tertutup (CCTV) yang terdapat di premis-premis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampai Sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan kawalan khususnya di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan umum melalui peningkatan tahap 'omnipresence'.

"Selain itu, kita juga akan meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan premis berkenaan termasuk pengawal keselamatan setiap pusat beli belah dan hotel-hotel," jelasnya.

Terdahulu, beliau mengesahkan bahawa ancaman bom diterima dua premis berkenaan adalah palsu.

Artikel Berkaitan:

"Pengurusan premis telah menerima panggilan telefon seorang lelaki dipercayai warga asing mendakwa telah meletakkan bom di pusat beli-belah dan hotel terbabit.

"Sepasukan 92 pegawai dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan K9 telah digerakkan ke lokasi pada pukul 6.15 petang sejurus laporan polis diterima.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dikesan. Kawasan dilaporkan selamat dan boleh beroperasi seperti sedia kala," jelasnya.

Pada Sabtu, pusat beli-belah Mid Valley Southkey dan Hotel St Giles Southkey terpaksa meminta seramai lebih 9,000 pengunjung dan pekerja mengosongkan bangunan terbabit ekoran dakwaan menerima ancaman bom.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!