Angeline Tan terharu kasih sayang diberi anak-anak Sabri Yunus

Angeline tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi cerita saat dia sah bergelar isteri kepada Sabri Yunus.
Angeline tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi cerita saat dia sah bergelar isteri kepada Sabri Yunus.
A
A
A

KISAH perkahwinan pengarah Sabri Yunus dan pelakon Angeline Tan atau nama Islam Ardini Angelina Tan masih menjadi topik hangat yang diperkatakan ramai.

Terbaharu, temu ramah segmen Gegar Pagi stesen radio Gegar, Angeline, 56, mengimbau kembali saat dia sah bergelar isteri dan seterusnya menjadi ibu kepada empat cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu Sabri.

Tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi cerita, Angeline atau cukup dikenali dengan panggilan Lucy menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu berkata, dia amat berterima kasih atas kasih sayang yang diberikan oleh anak-anak suaminya itu.

“Saya sangat sayang mereka dan mereka terima saya seadanya. Jadi saya cakap dengan mereka terima kasih atas kasih sayang yang mereka berikan.

“Saya juga kata, mulai hari ini saya sudah tambah tiga lagi anak perempuan dan seorang anak lelaki. Dulu mereka adalah anak kawan, sekarang saya nak anggap mereka macam anak sendiri,” ujarnya.

Tambah Angeline, dia juga meminta kesemua anak tirinya berterus terang sekiranya ada apa-apa kekurangan pada dirinya.

“Saya cakap jangan segan, aunty akan cuba sedaya upaya untuk buat sebaik mungkin sebab mulai hari ini kita satu keluarga dan aunty datang ke rumah ini untuk tambah kasih sayang, memberi kasih sayang kepada semua orang,” katanya menjawab soalan penyampai Issey Fazlisham.

Dalam temu bual sama, Angeline mendedahkan pertemuan jodohnya dengan pemegang watak Wan Ismail Golok itu berlaku dengan mudah.

Artikel Berkaitan:

Angeline dan Sabri. - Foto Gegar
Angeline dan Sabri. - Foto Gegar

Angline atau nama asalnya Tan Yoke Yeah mendedahkan suaminya itu adalah insan yang dikagumi.

“Segalanya berlaku secara semula jadi. Saya tidak berasa susah. Tiada perbezaan watak kerana kami kawan lama, saling memahami antara satu sama lain," katanya.

Penggambaran drama Tanya Sama Pokok adalah momen di mana wanita itu membuat keputusan untuk mengenali Sabri dengan lebih dekat.

“Apabila berlakon bersama, kami rapat. Pada satu hari, Sabri bertanya bolehkah kita cuba ‘berkawan.’ Kemudian timbul perasaan ganjil yang istimewa.

“Abang (Sabri) adalah insan yang saya hormati sejak tahun 1992. Dia adalah artis pujaan saya. Dengan bakat dan persahabatan dengan semua orang, saya mengaguminya.

“Ketika penggambaran selama sebulan, saya nampak beliau sangat baik. Saya fikir, why not. Saya katakan kepadanya, kita boleh cuba dan doakan yang terbaik.

“Ia mengalir dengan begitu sahaja secara semula jadi. Saya pun tidak perlu berpura-pura. Dengan hati yang ikhlas dan jujur berkawan, sampai satu masa Sabri melamar untuk kahwin. Saya memandangnya dan cakap boleh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!