Iklan pelaburan guna identiti Pengerusi MAIS palsu

 Hussein Omar Khan
Hussein Omar Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Iklan pelaburan yang dikesan menggunakan nama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof disahkan palsu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan berkaitan perkara tersebut diterima pihaknya kira-kira jam 2.45 petang pada Selasa.

"Beliau telah membuat laporan polis berkaitan iklan pelaburan yang dikesan menggunakan identiti melibatkan gambarnya.

"Iklan berkenaan dikesan menawarkan skim pelaburan saham dan mendakwa pelaburan itu patuh syariah serta menjana keuntungan yang tinggi," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, iklan terbabit dikesan dipaparkan di salah satu halaman Facebook yang mana turut mengandungi gambar beliau.

"Siasatan mendapati iklan pelaburan tersebut palsu dan tidak ada kaitan dengan Pengerusi MAIS itu.

"Laporan polis yang diterima dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Hussein menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan iklan di media sosial yang menggunakan identiti mana-mana individu penting.

Artikel Berkaitan:

"Jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan atau tawaran yang menggunakan nama atau gambar individu kenamaan di media sosial.

"Semak dahulu kesahihan iklan tersebut supaya mengelakkan dari dimanipulasi serta menjadi mangsa penipuan," katanya.

Tegas beliau, pelaburan seharusnya dilakukan di platform yang sah.

"Orang ramai diingatkan membuat pelaburan di platform yang sah selain semakan dilakukan di laman sesawang https://www.sc.com.my/investor-alert.

"Ini amat penting bagi menentukan kewujudan sesebuah syarikat pelaburan itu, sekiranya mencurigakan orang ramai boleh menghubungi pihak polis untuk kepastian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!