[VIDEO] Yasin tidak sakit mental sejak Mei 2013 - Pendakwaan
PETALING JAYA - Pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, menyatakan bahawa Yasin Sulaiman berada dalam keadaan normal dan sihat, antara tempoh 10 Mei 2013 sehingga penyanyi nasyid dan komposer itu ditangkap pada 24 Mac 2022 ekoran kes dadah.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata demikian ketika prosiding bela diri Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman berhubung kes jenayah itu, di hadapan Hakim, Faiz Dziyauddin.
Cadangan itu diutarakan selepas Raja Zaizul Faridah berkata, Yasin, 47, tidak hadir untuk mendapatkan rawatan pada tarikh temujanji di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada 23 Mei 2013.
Semasa menyoal balas saksi pembelaan pertama, Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony, Raja Zaizul Faridah berkata, ketidak hadiran tertuduh di PPUM menggambarkan dia telah sihat daripada penyakit berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan laporan kesihatan, Yasin telah menerima rawatan di hospital tersebut pada 7 hingga 10 Mei 2013.
Susulan itu beliau berkata, pihak hospital menetapkan tarikh temujanji untuk tertuduh hadir ke hospital namun dia gagal.
Bagaimanapun, Dr Ian menafikan kenyataan pendakwa raya itu dan menegaskan Yasin didapati tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami kecelaruan bipolar (bipolar disorder) dan ‘hyperthyroidism’sejak 2009.
Raja Zaizul Faridah: Jadi, saya cadangkan, disebabkan tertuduh tidak hadir semasa temujanji itu, maka dia sebenarnya sudah sihat.
Dr Ian: Tidak setuju.
Raja Zaizul Faridah: Melainkan, ada bukti lain yang dapat dikemukakan kepada mahkamah, saya cadangkan tertuduh sihat selepas tarikh itu, sehingga dia ditahan pihak polis pada 24 Mac tahun lalu.
Dr Ian: Tidak setuju.
Raja Zaizul Faridah: Disebabkan dia berada pada tahap normal, dia tidak pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dr Ian: Tidak setuju.
Sebagaimana prosiding terdahulu, saksi ini kemudiannya mengulangi kenyataan bahawa penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu, disahkan menghidap penyakit kecelaruan bipolar mania sejak 2009.
Menurutnya, bermula tahun itu, Yasin yang juga pesakitnya mengalami empat lagi gejala penyakit iaitu pada 2013, 2018, 2020 dan Mac 2022 iaitu pada tarikh dia ditangkap.
“Yasin menunjukkan tanda kecelaruan antaranya banyak bercakap, kurang tidur, paranoia, perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik dan halusinasi.
“Setiap pesakit bipolar akan menunjukkan tanda berbeza, begitu juga dengan tertuduh dalam kes ini,” kata saksi tersebut.
Dr Ian juga berkata tidak bersetuju apabila pihak pendakwaan mencadangkan bahawa diagnosisnya terhadap penyakit yang dihadapi Yasin adalah tidak tepat.
Beliau berkata, laporan perubatan yang dijalankan, menunjukkan Yasin menghidap bipolar sejak 2009 kerana ia merujuk kepada kemasukan pertamanya di wad hospital bahagia.
Bagaimanapun, Raja Zaizul Faridah mencadangkan, kenyataan doktor itu bercanggah dengan laporan perubatan hospital lain kerana penyanyi itu disahkan mempunyai masalah mental pada 10 Oktober 2007.
Raja Zaizul Faridah: Sedangkan rekod Dr menyatakan tertuduh sakit sejak 2009, maka ia bercanggah.
Dr Ian: Ya, tidak sama.
Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Yasin berkata, sebanyak 13 lagu berjaya disiapkan sepanjang dia berada dalam di penjara sejak Mac tahun lalu.
"Keluar (bebas) nanti, saya akan rakam dan kongsikan dengan semua, malah ada terfikir juga mahu berkolaborasi dengan beberapa artis lain.
“Konsep lagu itu pula, masih terbuka dan akan ditentukan selepas mendapat dibebaskan kelak,” katanya selepas prosiding selesai.
Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.
Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Prosiding bersambung Isnin depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!