Hujan lebat pencetus utama insiden tanah runtuh Batang Kali

Laporan Sinar Harian pada Disember 2022.
Laporan Sinar Harian pada Disember 2022.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kejadian hujan merupakan faktor pencetus utama insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor tahun lalu sehingga meragut 31 nyawa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia hasil dapatan analisis forensik Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR).

"Ia akibat daripada kombinasi jumlah hujan major bagi tempoh lima hari dan hujan Anteseden kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, hujan lebat itu telah menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga berlaku kerosakkan harta benda dan kehilangan nyawa.

"Siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini," ujar beliau.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, laporan forensik JKKTR telah dimajukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kerajaan Selangor untuk dinyahklasifikasi bagi membolehkan hasil siasatan berkenaan dicapai oleh orang awam.

Kerajaan Selangor bersetuju untuk menyahklasifikan laporan tersebut pada 5 Oktober lalu dan ia telah diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk tindakan lanjut.

"Laporan penuh JKKTR ini boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma, mulai 10 pagi esok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tragedi tanah runtuh di Batang Kali sehingga menimbuskan kawasan perkhemahan yang berlaku jam 2.30 pagi pada 16 Disember itu menggemparkan negara apabila ia melibatkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban.

Kejadian menyayat hati tersebut meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!