Buang 'pendamping', pelajar dirogol bomoh empat kali

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang pelajar perempuan tingkatan empat dicabul dan dirogol sebanyak empat kali oleh seorang bomoh yang mendakwa terdapat pendamping badan mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 50 tahun dan bekerja sebagai jurulatih Muay Thai datang ke rumah mangsa yang merupakan anak bongsu tiga beradik pada Ogos lalu bagi merawat ibu saudara mangsa yang dipercayai mengalami gangguan sihir.

Namun menurutnya, setelah melihat mangsa, suspek yang mendakwa mempunyai kepakaran dalam perubatan tradisional memberitahu kepada ibu mangsa berusia 48 tahun untuk mengubati mangsa yang terdapat pendamping pada badan mangsa.

Katanya, suspek dipercayai telah membawa mangsa bersama ibu dan bapa saudara mangsa ke kawasan semak berhampiran sebuah pasar raya di Cheng bagi tujuan mengubati mangsa.

"Pada pertemuan itu suspek menyuruh ibu dan bapa saudara mangsa pergi membeli makanan dan meninggalkan mangsa bersama suspek berdua di kawasan semak.

"Ketika itu suspek didakwa merogol mangsa dan turut memberi amaran kepada mangsa agar tidak memberitahu kepada orang lain menyebabkan mangsa takut menceritakan hal itu kepada sesiapa," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Jelasnya, sejak dari itu suspek sering datang ke rumah mangsa untuk tujuan mengubati mangsa dan dalam tempoh itu juga mangsa mendakwa telah dirogol sebanyak empat kali oleh suspek di tempat berlainan.

Ujarnya, mangsa mendakwa dirogol suspek bulan Ogos hingga Oktober sebelum memberanikan diri membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Suspek ditahan polis jam 4.30 pagi pada Selasa di tempat latihan Muay Thai di kawasan Batu Berendam dan mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya lagi.

Sementara itu, Majistret Mahkamah Melaka, Khairunnisak Hasni, mengeluarkan perintah reman kepada suspek yang berasal dari Tumpat, Kelantan selama tujuh hari bermula pada Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!