Azizulhasni hampir 'ditendang' kerana sokong Gaza

Azizulhasni memaparkan mesej Save Gaza selepas memenangi satu perlumbaan pada kejohanan besar di Eropah pada 2014. - Foto FB Azizulhasni Awang
Azizulhasni memaparkan mesej Save Gaza selepas memenangi satu perlumbaan pada kejohanan besar di Eropah pada 2014. - Foto FB Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan hampir 'ditendang' keluar dari perkampungan sukan dan penyertaannya dalam satu kejohanan besar di Eropah hampir dibatalkan gara-gara memaparkan mesej Save Gaza pada glove yang dipakainya pada Julai 2014.

Beliau berkata, ketika itu dia berlumba dengan pelumba dari England dan sejurus memenangi perlumbaan tersebut, dia mengangkat kedua-dua belah tangan untuk menyampaikan mesej kepada seluruh dunia.

“Ketika sepanjang kejohanan itu, Gaza teruk bertalu-talu di bom oleh tentera laknatullah. Ramai yang menjadi mangsa dan terkorban termasuk wanita, anak-anak kecil dan bayi. Memburukkan lagi keadaan ketika itu adalah di bulan Ramadan. Bulan suci umat Islam.

“Alasan yang diberikan untuk membatalkan penyertaan adalah kerana saya menyampaikan mesej politik di pentas sukan. Niat saya ketika itu hanyalah untuk menyampaikan mesej kemanusiaan bagi seluruh dunia tahu keadaan di Gaza,” tulis Azizulhasni menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Beliau yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman menganggap mereka sebagai hipokrit.

“Lihat betapa hipokritnya mereka, pelbagai cara mereka lakukan untuk menutup mulut, telinga dan mata dunia. Namun, apabila giliran mereka semuanya boleh pula.

“Sebagai contoh peperangan antara dua negara sebelum ini, mereka satu dunia menyatakan sokongan kepada satu negara berkenaan secara terbuka dan ianya dikatakan oleh mereka sebagai freedom of speech dan juga humanitarian support,” katanya.

Justeru Azizulhasni mengajak semua untuk terus memberi sokongan kepada saudara-saudara di Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Ada pelbagai cara dan pelbagai ruang untuk membantu mereka di sana. Bantulah mereka mengikut kemampuan diri kita tetapi yang paling penting adalah sekurang-kurangnya kita melakukan sesuatu.

“Jangan pernah ragu dengan segala ketetapan ALLAH kerana janji ALLAH itu adalah pasti,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!