Konflik Palestin-Israel: FCCM kecam ancaman terhadap wartawan

Orang ramai memeriksa bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel di bandar selatan Genting Gaza Khan Younis. - Foto Xinhua
Orang ramai memeriksa bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel di bandar selatan Genting Gaza Khan Younis. - Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) mengecam sekeras-kerasnya semua tindakan pencerobohan dan ugutan yang ditujukan kepada wartawan yang menjalankan tugas di zon konflik.

Menyuarakan rasa dukacita atas laporan menyedihkan mengenai keganasan yang meningkat ke atas wartawan di Gaza, FCCM dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, serangan yang menyasarkan wartawan jelas merupakan jenayah perang.

"Wartawan yang bertugas di zon konflik mesti diberikan perlindungan yang sama seperti orang awam, bagi membolehkan mereka membuat laporan yang saksama dan tanpa rasa takut...

"Individu ini bukan pejuang dan oleh itu, berhak mendapat perlindungan seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen Geneva," menurut kenyataan itu.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sekurang-kurangnya 15 wartawan terbunuh sejak konflik Palestin-Israel meletus pada 7 Okt.

Sementara itu, Palestinian Journalists Syndicate mengesahkan bahawa 11 wartawan Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel.

FCCM berkata wartawan bertanggungjawab melaporkan kebenaran tanpa dipaksa atau diancam, oleh itu keselamatan mereka perlu dijamin supaya mereka bebas membuat liputan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!