Perak terus perjuang bina 3 lagi sekolah baharu

Khairudin (duduk, tiga dari kiri) bersama penganjur dan pelajar yang hadir ke Majlis Penutupan Program 3R @ Perpustakaan Awam Dato' Seri Husni, Chemor di sini anjuran bersama Mimbar Nusantara Holding dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak pada Selasa.
Khairudin (duduk, tiga dari kiri) bersama penganjur dan pelajar yang hadir ke Majlis Penutupan Program 3R @ Perpustakaan Awam Dato' Seri Husni, Chemor di sini anjuran bersama Mimbar Nusantara Holding dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Universiti, Seri Iskandar yang diumumkan di dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini merupakan salah satu daripada empat sekolah yang dimohon oleh kerajaan negeri Perak untuk dibina.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, tiga lagi sekolah baharu yang dicadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk dibina ialah SMK Meru Raya, Ipoh; SMK Botani, Ipoh dan SMK Proton, Tanjung Malim.

Menurutnya, sekolah-sekolah baharu yang dimohon itu merupakan kawasan berkepadatan penduduk tinggi kerana sekolah menengah sedia ada tidak lagi dapat menampung jumlah pelajar yang sangat ramai.

"Kali ini hanya SMK Bandar Universiti diluluskan tetapi untuk tiga sekolah lain, kita akan terus perjuangkan sebab kita perlu menyediakan sekolah tersebut kerana berlaku kepadatan penduduk.

"Kerajaan negeri Perak memang konsisten untuk memastikan tiga sekolah ini kita berjaya bina pada masa akan datang selain daripada sekolah berasrama penuh untuk daerah Manjung yang kita perjuangkan kali ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program 3R @ Perpustakaan Awam Dato' Seri Husni, Chemor di sini anjuran bersama Mimbar Nusantara Holding dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak pada Selasa.

Sementara itu mengenai pembinaan baharu SMK Bandar Universiti, Khairudin berkata, permohonan tersebut telah dimulakan sejak tahun 2017 lagi iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan baru sekarang berjaya direalisasikan.

Katanya, permohonan tersebut dibuat memandangkan jumlah pelajar di SMK Seri Iskandar yang sangat padat melibatkan dua sesi pembelajaran di sebelah pagi dan petang malah terdapat kelas mempunyai pelajar sehingga 50 orang bagi satu sesi.

"Ada pelajar yang sepatutnya bersekolah di SMK Seri Iskandar tetapi terpaksa dialihkan ke SMK Dato' Abdul Rahman Yaakub, Bota, contohnya SK (Sekolah Kebangsaan) Suak Padi iaitu sekolah orang asli. Dari segi logistik, lagi dekat ke SMK Seri Iskandar, tetapi memandangkan kepadatan itu, pihak JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) menyediakan pengangkutan untuk pelajar orang asli dihantar ke sekolah sejauh kira-kira 10km daripada perkampungan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya mewakili penduduk di kawasan Parlimen Parit amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pengumuman dalam Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu. Ini merupakan satu kelegaan selepas ia dapat direalisasikan pembinaannya," katanya.

Sementara itu mengenai sekolah-sekolah yang akan disenaraikan untuk projek naik taraf dan baik pulih seperti diperuntukkan di dalam belanjawan berkenaan, Khairudin berkata, keutamaan akan diberikan kepada sekolah lama khususnya melebihi 100 tahun.

Pada 13 Oktober lalu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 memperuntukkan RM2.5 bilion bagi membina sebanyak 26 sekolah baharu termasuk SMK Laya-laya, Tuaran, Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Seri Iskandar, Perak dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!