Pusat hiburan diserbu, 10 wanita ditahan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 10 wanita ditahan dalam satu serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sebuah premis hiburan di Jalan Perak, dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kumpulan wanita yang ditahan itu adalah seorang wanita tempatan berusia 47 tahun dan sembilan lagi warga asing berumur lingkungan 19 hingga 27 tahun.
Beliau berkata, serbuan yang dilakukan jam 12.20 tengah malam itu turut memeriksa seramai 32 individu yang berada di dalam premis hiburan tersebut dan ujian saringan awal air kencing dilakukan.
"Bertindak atas maklumat risikan kegiatan aktiviti hiburan, pihak polis telah membuat serbuan pada Isnin.
"Selain menahan 10 wanita, ujian air kencing turut dilakukan ke atas semua yang berada di dalam premis hiburan.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua individu terlibat adalah negatif dadah di dalam badan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kata beliau, kesemua individu yang ditahan telah direman bagi siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sehubungan itu katanya, pihak polis menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke IPD Dang Wangi di talian 03-2602222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!