Tak perlu kemukakan bukti - Kon Yeow
GEORGE TOWN - Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan beliau tidak perlu mengemukakan sebarang bukti berikutan dakwaan ada pihak mahu menjatuhkannya sebagai Ketua Menteri.
Kon Yeow berkata, semua pihak perlu menerima keputusan parti yang memilih beliau sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua bagi Pulau Pinang.
"Sebelum pilihan raya, ada cubaan untuk menggantikan saya tetapi parti sudah buat keputusan. Walaupun tiada pihak yang bertindak, (kedudukan) saya masih ada cabaran.
"Perlu diingat, kedudukan saya sekarang dibuat oleh parti selain parti juga telah membuat keputusan bahawa saya akan berkhidmat untuk penggal ini. Parti juga telah menamakan senarai Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Oleh itu, dalam konteks ini, sama ada di dalam atau luar parti, marilah kita sama-sama bekerjasama untuk merealisasi Visi Penang 2030. Banyak yang telah kita rancang dan sedang berusaha untuk melaksanakannya dalam penggal ini," katanya selepas merasmikan The Flag Project di Penang Institute di sini pada Selasa.
Kon Yeow turut menasihati kepada mana-mana pihak agar tidak menimbulkan isu menjatuhkan beliau sebagai pemimpin nombor satu Pulau Pinang.
"Semua pihak perlu tampil dan menyokong saya sebagai Ketua Menteri yang disahkan oleh parti malah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah banyak kali menyatakan perkara ini.
"Pasukan (kerajaan negeri) sekarang tiada masalah, namun kita boleh tambah baik. Saya sudah bentang manifesto, mengadakan sesi libat urus bersama Exco dan ADUN. Semuanya berjalan lancar dengan barisan Exco dan ADUN," katanya.
Ditanya mengenai ada usaha dari luar parti untuk menjatuhkannya, Kon Yeow berkata, beliau tidak menghiraukan perkara tersebut sebaliknya hanya memfokuskan kepada agenda kerajaan negeri yang sudah dirancang sebelum ini.
"Sesiapa pun mereka, itu bukan keutamaan, kita ada agenda maka kita fokus kepada agenda itu.
"Mereka perlu menghargai keputusan parti," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng meminta Kon Yeow mengemukakan bukti berhubung dakwaan ada pihak dari luar dan dalam DAP yang sedang merancang untuk menjatuhkannya sebagai Ketua Menteri dengan membuat pelantikan baharu.
Guan Eng berkata, tindakan itu perlu agar parti dapat menangani isu ini secara dalaman setegas mungkin.
Beliau berkata, sehingga kini, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mana-mana pemimpin atau ahli parti di Pulau Pinang yang terlibat dalam usaha untuk menjatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!