DBKL sedia rumah sewa untuk golongan bujang
KUALA LUMPUR - Golongan bujang yang bekerja di ibu negara bakal menikmati kemudahan kediaman berkonsepkan kapsul hotel menerusi kemudahan ‘micro housing’ yang akan disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata, kemudahan itu bagi membantu golongan bujang dalam kategori B40 mendapatkan sewa kediaman yang lebih rendah.
Menurutnya, bangunan bagi kemudahan itu telah dikenal pasti dan akan melalui proses baik pulih sebelum ia dibuka untuk sewaan.
“Setakat ini kita telah kenal pasti bangunan terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman itu yang sebelum ini merupakan premis perniagaan namun tidak lagi digunakan.
“Saya jangkakan DBKL memerlukan antara RM5 juta hingga RM10 juta untuk tujuan penyediaan kemudahan ini di mana kita hanya akan baik pulih dan ubah suai bangunan tersebut bagi memenuhi keperluan kediaman,” katanya sempena temu bual khas sempena 100 hari sebagai Datuk Bandar hari ini.
Tambah beliau, bangunan mengandungi dua blok itu dijangka mampu menampung 200 penghuni dengan konsep satu bilik untuk seorang.
Katanya, jumlah sewa yang dikenakan belum ditetapkan namun dianggarkan sebanyak RM100 sebulan.
“Konsepnya adalah bilik untuk tidur dan jika mahu masak mereka akan disediakan tempat khas,” katanya.
Nor Hisham berkata, setakat ini DBKL tidak menetapkan sebarang tempoh had menduduki kemudahan itu selagi penghuni berkenaan berstatus bujang.
“Kemudahan ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia sahaja yang bekerja di Kuala Lumpur. Cara permohonan akan dimaklumkan apabila kemudahan ini siap nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!