Peluang All Blacks lakar kejutan
JANGKAAN kepada New Zealand untuk melakar kejutan dalam saingan separuh akhir Ragbi Piala Dunia 2023 menentang Argentina pada Sabtu kian meningkat.
Ia susulan kejayaan All Blacks menyingkirkan pasukan di ranking nombor satu dunia, Ireland 28-24 pada aksi suku akhir lalu.
Juara tiga kali itu tiada pilihan selain memenangi perlawanan tersebut dan ia diakui oleh jurulatih penyerang Jason Ryan yang sedar jangkaan kepada All Blacks sangat tinggi.
“Itulah maksud jersi ini dan itulah yang dituntut daripada kami setiap minggu.
“Anda hanya sentiasa memberi dan cuba untuk menjadi lebih baik. Anda tahu, jangkaan sangat tinggi dan kami tiada pilihan selain memenanginya.
“Lebih banyak tekanan, lebih baik dan kami tidak sabar untuk menanganinya,” ujar Ryan.
Argentina melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Wales dan kebanyakan pemerhati menganggap Pumas berpeluang untuk mara ke final.
All Blacks bagaimanapun enggan mengambil mudah dan sedar Argentina menewaskan mereka di New Zealand buat kali pertama dalam pertembungan kejohanan ragbi di Christchurch tahun lalu.
“Kami belajar banyak dalam permainan itu. Mereka banyak meletakkan pertahanan di sana untuk memperlahankan bola kami.
“Saya rasa mereka adalah pasukan yang berbeza dan kami juga akan menampilkan corak permainan yang berlainan,” ujar Ryan.
RAGBI PIALA DUNIA PERANCIS 2023
Separuh Akhir
SABTU (21 OKTOBER)
Argentina lwn New Zealand, 3 pagi
AHAD (22 OKTOBER)
England lwn Afrika Selatan, 3 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!