Harimau Malaya tumbang, Tajikistan juara Pestabola Merdeka
HARIMAU Malaya terpaksa menelan kepahitan selepas tewas kepada Tajikistan 0-2 dalam aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa.
Skuad kendalian Petar Segrt yang dilaporkan tidak dapat membawa 15 pemain utama mereka tampil dengan permainan agak tersusun sebaik perlawanan dimulakan.
Tajikistan menghadirkan ancaman pada minit ke-12 menerusi percubaan pemain tengah Shukurov Alisher namun percubaannya ditampan oleh Ahmad Syihan Hazmi.
Harimau Malaya membalas melalui rembatan jarak jauh Brendan Gan yang terus menuju ke dakapan penjaga gol Tajikistan, Barotov Daler.
Bagaimanapun, Tajikistan berjaya membolosi gawang Harimau Malaya pada minit ke-44 jaringan Soirov Rustam.
Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Safawi Rasid yang ditanduk Matthew Davies, namun berjaya diselamatkan oleh Baratov.
Bersambung babak kedua, Malaysia tampil agresif melalui beberapa percubaan namun gagal mencari gol penyamaan menghampakan lebih 36,000 penonton yang hadir.
Sebaliknya, pasukan pelawat berjaya menambah gol menerusi pemain gantian, Samiev Shahrom pada minit ke-88.
Untuk rekod, kejohanan Pestabola Merdeka dianjurkan semula tahun ini selepas kali terakhir diadakan pada 2013.
Ia menjadi kejuaraan Pestabola Merdeka pertama buat Tajikistan dalam penampilan sulung mereka pada kejohanan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!