'Dah macam kampung warga asing'
ISU lambakan warga asing di Malaysia kini ibarat 'barah' yang boleh menggugat kemakmuran dan kesejahteraan rakyat serta negara.
Kegagalan kerajaan untuk menangani isu berkenaan menyebabkan mereka dengan mudah mendominasi kegiatan ekonomi khususnya perniagaan yang sepatutnya menjadi hak orang tempatan.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NILAM NUR ATIKAH OSHMAN yang mendengar luahan dan masalah penduduk mengenai isu lambakan dan monopoli perniagaan warga asing di sekitar Lembah Klang.
Rakyat tempatan bimbang lambakan warga asing di sekitar Lembah Klang terutama Klang, Puchong, Petaling Jaya dan Selayang berikutan perniagaan dan rumah kedai dimonopoli golongan tersebut.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi mendapati kawasan yang diduduki mereka tidak terjaga dan kotor.
Berbeza dengan penempatan orang tempatan yang bersih dan teratur, ia secara tidak langsung boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan keharmonian di sesuatu kawasan itu.
Ejen jualan barangan kenderaan, Tee Yong Zhong, 22, berkata, sepatutnya kawasan tersebut ramai Melayu, Cina dan India tetapi kebanyakan daripada mereka berpindah kerana bimbang keselamatan diri terancam.
“Cuba lihatlah dah jadi kampung warga asing, orang tempatan pun ‘cabut’ sebab takut terutama waktu malam.
“Waktu siang lengang lagi, tunggu petang sikit mereka akan berkumpul di kedai-kedai runcit untuk melepak,” katanya.
Peniaga, Kamarulzaman Dollah, 58, pula mendakwa sehingga sekarang tiada tindakan diambil menyebabkan mereka berani meniaga dan menunggang motosikal tanpa lesen.
Ujarnya, lebih menggusarkan apabila keadaan di kawasan berkenaan menjadi suram dan amat kotor.
“Bukan itu sahaja, jalan kaki lima juga berbau hancing. Siang atau malam memang tidak selamat.
“Kedai runcit, cuci kereta dan makan kebanyakannya warga asing. Memang pelik, tapi itulah kebenarannya. Jadi, usaha yang perlu dilakukan ialah membanteras golongan ali baba kerana punca perkara ini terjadi,” ujarnya.
Menurut pemandu lori, Ismail Abdul Mohsim, 40, kehadiran warga berkenaan disedari sejak lapan tahun dan jumlahnya kini makin bertambah.
“Warga tempatan sampai takut nak beli barang di sini. Tak payah fikir lagi, tangkap saja mereka bila tanya ada lesen ke tidak, mengaku ada tetapi bos dia punya.
“Jangan dibiarkan kerana yang sengsara rakyat,” tegasnya.
Pekerja swasta, Saiful Azwan Mad Nizam, 32, berkata, dia amat terkejut kerana jumlah warga asing di sini agak luar biasa malah suasananya seolah-olah berada di negara mereka.
“Saya dari Klang cuma datang sini hantar barang, tetapi memang teruk lambakan warg asing sekarang ini, bahaya terutama kepada wanita.
“Saya yang lelaki ini pun takut, mereka asyik perhatikan kita. Rasa macam bukan duduk negara sendiri pula. Tolonglah penguatkuasa buat sesuatu,” ujarnya.
Kelulusan lesen perniagaan jadi tanda tanya
Sementara itu, Pengerusi Komuniti Prihatin Setempat Selangor MyKompak, Kamal Ahmad Abdullah mendakwa, pihak bertanggungjawab masih gagal menangani isu lambakan warga asing yang memonopoli sebahagian besar perniagaan seperti kedai runcit dan pasar malam dalam negara.
Dakwanya, isu tersebut yang hampir 10 tahun dipandang sepi pihak berwajib, tetapi sering dipersoalkan penduduk setempat kerana hairan jabatan mana yang meluluskan atau membenarkan golongan itu menjalankan perniagaan di sini.
“Kebanyakan gerai, kedai runcit dan pasar malam banyak dikendalikan mereka. Tetapi mana datangnya lesen, mudah ke dapat?
“Selain itu, diakui aktiviti ali baba turut menjejaskan sedikit sebanyak pendapatan peniaga tempatan, namun masalahnya orang kita sendiri yang terlibat menyewakan lesen niaga kepada warga asing untuk mencari keuntungan. Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Kamal Ahmad, langkah terbaik ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meletakkan anggota mereka di setiap majlis perbandaran untuk mengawasi supaya dapat memperketatkan prosedur bahagian pelesenan agar kuasa tidak disalahgunakan.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menggunakan kuasa yang diberikan untuk memantau dan membanteras perkara tersebut.
“Mereka harus mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang sedia ada dengan membatalkan pemilikan lesen terhadap mana-mana pihak yang membenarkan warga asing menggunakan lesen.
“Jangan biar ia menjadi barah, tangani segera secara tuntas dan berkesan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!