Jangan ambil kesempatan kesengsaraan Palestin

Penduduk Palestin meninggalkan kejiranan al- Karama di Gaza City untuk menuju ke kawasan selamat. - AFP
Penduduk Palestin meninggalkan kejiranan al- Karama di Gaza City untuk menuju ke kawasan selamat. - AFP
A
A
A

KONFLIK berdarah di bumi Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 2,800 nyawa penduduk Palestin baru-baru ini, menggoncang nilai kemanusiaan seluruh dunia.

Serangan bom dan peluru yang bertubi-tubi sebaik siang melabuhkan tirai di Tebing Gaza, menimbulkan rasa amarah individu tanpa batasan agama terhadap sikap tuli rejim dan negara Barat.

Susulan itu, banyak negara termasuk Malaysia mengutuk keras perbuatan itu yang disifatkan sebagai jenayah perang terburuk dunia.

Aktivis masyarakat, syarikat perniagaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) turut tampil menghulur bantuan kewangan dengan kutipan dana tabung Palestin.

Namun, timbul pula dakwaan ada yang mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan di sebalik aktiviti kutipan tabungan itu tanpa pengetahuan penderma.

Dalam perkongsian di media sosial, sebuah NGO didakwa telah menggunakan duit penderma tabung bantuan ke Gaza sebagai caj operasi dan pengurusan kira-kira 30 peratus iaitu sebanyak RM34 juta pada tahun 2021.

Kemudian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menarik balik kebenaran kutipan Tabung Amal Palestin di negeri itu.

Ia dipercayai rentetan satu hantaran di aplikasi X, meminta orang ramai berwaspada dengan sindiket atau scammer yang mengambil kesempatan mengutip dana kononnya untuk membantu rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

Tidak salah untuk mengutip dana atau tabung bagi meringankan bebanan mangsa kekejaman rejim Zionis itu.

Akan tetapi perlu beringat jangan sampai tersasar daripada objektif sebenar dan mengisi poket sendiri pula.

Pihak yang mengutip derma itu tidak sepatutnya mempergunakan hasil dana bagi tujuan peribadi atau kepentingan lain.

Para penderma menaruh harapan agar huluran yang diberi sampai ke tangan yang berhak.

Diharapkan pihak berwajib mewujudkan satu garis panduan agar yang menubuhkan tabung amal dan sealiran dengannya tidak menyimpang daripada tujuan sebenar mereka.

Para penderma perlu diberi penerangan secara jelas arah tuju wang yang disalurkan itu termasuklah kos operasi pihak pengurusan badan amal tersebut. Ia bagi mengelak timbulnya dakwaan berlaku penyelewengan dana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!