KPKM rancang program, tambah baik inisiatif tingkatkan hasil tanaman
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan merancang program baharu dan menambah baik inisiatif sedia ada bagi meningkatkan hasil pertanian negara terutama tanaman padi.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia termasuk penggunaan teknologi terkini dan penerokaan kawasan penanaman baharu yang akan dilaksana menerusi peruntukan Belanjawan 2024 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.
"Bolehlah kita rancang program baharu dan tambah baik (program) sedia ada supaya ia lebih efisien dan baik terutama dari sudut produk yang diusahakan dalam keluasan (tanah) sama. Kita nak tambah hasil produk ini perlu kepada teknologi baharu, (cara) pembajaan yang baharu.
"Pandangan (pakar pertanian seperti) pensyarah universiti, ujian kandungan dan kesesuaian tanah, semua ini (juga) kena dibuat untuk meningkatkan hasil (tanaman) dengan keluasan tanah yang sama di samping meneroka kawasan baharu yang perlu diusahakan macam padi, sayuran dan tanaman lain yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara: ‘Keterjaminan Makanan Terus Diperkukuh’ terbitan Bernama TV malam Selasa.
Menerusi Belanjawan 2024, KPKM diperuntuk RM6.17 bilion iaitu peningkatan sebanyak 14.4 peratus berbanding RM5.39 dalam Belanjawan 2023.
Mengulas pengapungan harga ayam dan telur di pasaran, Mohamad berkata, KPKM bersama beberapa kementerian sedang membincangkan langkah pelaksanaan terbaik mengenai hal itu.
"Secara umumnya, (harga) telur dan ayam stabil dapat ditampung dengan cepat... bila ada kestabilan maka (kita) akan bincang bagaimana nak laksanakan pengapungan... perbincangan kita minggu ini (adalah) untuk cari penyelesaian terbaik dan mengurangkan bebanan kepada mana-mana pihak, itu tujuan kita,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini berkata langkah kerajaan melakukan pengapungan harga ayam dan telur di pasaran antara lain ialah bagi memastikan manfaat subsidi sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak bukannya warga asing dan golongan kaya.
Beliau berkata ini kerana sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!