[VIDEO] Selagi tidak seberang parti, akta tidak terpakai - Tuan Ibrahim
KUALA LUMPUR - Tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan kepada pimpinan Perdana Menteri tidak menjejaskan kedudukannya sebagai ahli Dewan Rakyat.
Malah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan keputusan drastik itu dibuat kerana wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memikirkan nasib dan tekanan yang dirasai rakyat di kawasannya susulan tiada peruntukan disalurkan kepada pembangkang.
“Saya akui melalui pengalaman peribadi sebagai orang lama dalam Pas, kami (pembangkang) bermula dengan tiada peruntukan (dan) tidak pernah dapat peruntukan dari kerajaan.
“Kita mula dapat peruntukan apabila berada dalam kerajaan, sekali gus dapat laksanakan tanggungjawab dengan beri peruntukan (kepada pembangkang). Pada tahun 1999 ketika saya jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), satu sen peruntukan tak pernah dapat dalam tempoh lima tahun.
“Kita terpaksa guna elaun sendiri untuk bayar sewa pejabat, gaji pekerja dan tolong rakyat. Sebab itu ada kalangan rakan-rakan, apabila tamat perkhidmatan sebagai ADUN, hutang di kedai dan hutang pembekal masih banyak. Ini sangat tidak adil,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Iskandar Dzulkarnain dilaporkan membuat keputusan menyokong pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan, Akta Anti Lompat Parti tidak terpakai dalam situasi berkenaan ekoran Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu tidak bertukar atau keluar daripada Bersatu.
“Dia tidak menyeberang ke sana (lompat ke parti kerajaan), dia tetap ahli Bersatu. Kalau dia menyeberang, sudah tentu dikenakan (hukuman) di bawah Akta Anti Lompat Parti. Beliau hanya menyatakan sokongan sahaja.
“Spekulasi mengenai dia dikenakan tekanan dan sebagainya, saya tidak pasti. Namun faktor besar saya percaya kerana peruntukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!