Takkan sampai nak letupkan jiran

Gambar hiasan Foto 123RF
Gambar hiasan Foto 123RF
A
A
A

HANYA kerana mendakwa selalu diperli, tidak siapa menyangka seorang lelaki sanggup bertindak di luar batasan dengan meletupkan bom di rumah jirannya sendiri.

Sejauh mana benarnya dakwaan tersebut, namun itulah dilaporkan dalam siasatan awal polis berhubung punca suspek melakukan sedemikian dalam kejadian di Mak Mandin, Kepala Batas 8 Oktober lalu.

Dalam kejadian tersebut, suspek yang marah dengan jirannya itu menggunakan bahan letupan sendiri (IED) sehingga jeriji besi dan koridor rumah mangsa rosak. Mujurlah tiada kemalangan jiwa.

Mangsanya pula seorang warga emas dan tindakan dilakukan sebagai amaran serta menakutkan jiran tersebut.

Di pihak mangsa dan kejiranan terbabit, sudah tentulah keadaan itu menimbulkan keributan, ketakutan dan kebimbangan.

Apatah lagi dengan menggunakan bahan berbahaya tanpa kawalan, seolah-olah tiada penyelesaian lebih harmoni.

Bagaimanapun, kita berharap dengan campur tangan pihak berkuasa, kejiranan tersebut lebih aman selepas ini berbanding sebelumnya.

Daripada kes terbabit, kita perlu menyedari beberapa perkara perlu diambil pengajaran dan perhatian oleh masyarakat dan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, keperluan memastikan kita sentiasa berwaspada dalam tutur kata dan tingkah laku selain membuang sikap buruk sama ada dalam kehidupan berjiran atau di mana sahaja.

Dari sudut perli yang turut bermaksud sindiran, cemuhan dan ejekan, konotasinya menjurus kepada perihal negatif dan kesan tindakan tersebut sudah tentu mendorong perlakuan lebih ekstrem.

Selain kes di atas, beberapa kes lain turut dilaporkan sebelum ini didakwa berpunca akibat sikap suka memerli dan menyindir.

Pada Ogos lalu, seramai lapan lelaki ditahan kerana terlibat rusuhan di Jalan Pandan Indah, Ampang Jaya.

Siasatan dapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham libatkan dua kumpulan kelab motosikal, selain sindir-menyindir menerusi TikTok.

Pada 2020, negara turut dikejutkan dengan kejadian pembunuhan kejam melibatkan Siti Nur Surya di Telemong, Hulu Terengganu.

Mangsa dijumpai dalam keadaan ngeri dengan kesan tetakan di bahagian muka, leher dan dada selain pergelangan tangan kirinya putus.

Siasatan polis ketika itu turut kaitkan motif kejadian dengan unsur kata-mengata dan sindir menyindir.

Lebih awal dari itu, seorang lelaki sanggup bertindak menikam dan mencekik rakan sekerjanya di sebuah kolej kemahiran di Banting, Selangor pada 2018, dipercayai suspek bertindak demikian akibat sering kali disindir mangsa.

Berdasarkan kes-kes itu, perbuatan sindir-menyindir dan memerli ini tidak seharusnya dipandang ringan.

Sungguh tindakan itu boleh wujudkan suasana tidak mesra dan tegang antara orang yang menyindir dan disindir.

Penerimaan orang disindir pula berbeza-beza. Ada orang mungkin tidak mahu ambil pusing, membalas kembali sindiran dengan ucapan atau doa, memendam rasa dan paling teruk menyimpan dendam.

Jadi janganlah dijolok sarang tebuan. Kalau tidak, sedialah terima padah.

Selain itu, dalam isu melakukan jenayah dengan bom buatan sendiri, ia perlulah dipandang serius oleh pihak berkuasa.

Beberapa kes sebelum ini menunjukkan kebanyakan suspek gunakan bom buatan sendiri telah hasilkan bahan letupan itu hanya dengan belajar melalui internet dan YouTube.

Selain itu, orang ramai perlulah memberi maklumat kepada pihak berkuasa jika dapati perkara mencurigakan supaya tindakan boleh diambil segera.

Dalam hal ini, pentingnya berbaik dengan jiran dan orang sekeliling dengan tujuan memastikan keharmonian setempat.

Dalam masa sama, kita juga boleh mencegah perkara lebih awal sebelum membiarkan kemudaratan lebih besar berlaku kepada orang sekeliling.

* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Editor Pengisian Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!