Kerap ambil ubat tahan sakit punca jalani dialisis
ALOR SETAR - Tabiat mengambil ubat tahan sakit setiap kali sakit kepala membawa padah buat Md Esa Jaafar, 63, apabila terpaksa menjalani rawatan dialisis sepanjang hidupnya.
Dia yang sudah 23 tahun menjalani rawatan dialisis di Kedah Medical Centre (KMC) berkata, dia tidak menyangka ubat yang menghilangkan rasa sakit kepala itu akhirnya membawa mudarat yang lebih besar buat dirinya.
Katanya, bekalan ubat berkenaan dibeli sendiri olehnya di farmasi dan mengambilnya setiap kali berasa sakit tanpa nasihat doktor.
"Mula-mula sakit kepala tu, saya jumpa doktor dulu, doktor bagi ubat tahan sakit, balik makan lega. Kemudian bila sakit kepala saja, saya pi beli sendiri ubat tu kat farmasi, tak jumpa doktor dah," katanya ketika ditemui di Pusat Haemodialisis KMC di sini pada Selasa.
Menurutnya, beberapa tahun kemudian, buah pinggangnya disahkan kecut dan perlu menjalani rawatan dialisis dengan segera.
"Pada tahun 2001, saya tak berapa sihat, ingatkan ada masalah jantung, bila pi jumpa doktor, buat pemeriksaan rupanya buah pinggang saya dah kecut, fungsinya tinggal 25 peratus sahaja.
"Jadi doktor cadangkan saya segera buat rawatan dialisis untuk mengelakkan kesihatan saya lebih mudarat," katanya.
Jelas bapa kepada lima cahaya mata ini, dia pada mulanya turut mencuba rawatan tradisional untuk mengelakkan dialisis.
"Tetapi doktor ada pesan pada saya jangan makan herba yang bukan-bukan, jadi akhirnya saya fikir tak ada jalan lain, saya terpaksa bersetuju untuk buat rawatan dialisis," katanya.
Md Esa berkata, dia bersyukur walaupun sudah 23 tahun menjalani rawatan dialisis, dia masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk menguruskan diri sendiri.
"Kita kena kuat semangat, saya memandu sendiri ulang-alik dialisis tiga kali seminggu dari rumah saya di Jerlun.
"Bukan tak ada ahli keluarga nak tolong, tetapi bila orang tolong, saya rasa saya lemah. Selagi ada kudrat saya akan buat semua sendiri," katanya.
Ujarnya, sebagai pesakit yang jalani dialisis, paling penting adalah mengikut jadual rawatan yang ditetapkan doktor dan mengambil ubat-ubatan yang disarankan.
"Ikut nasihat doktor dan selebihnya kita berserah kepada Allah SWT, setiap hari saya berdoa semoga diberi kesihatan yang baik dan juga dipanjangkan usia," katanya.
Katanya, sejak menjalani dialisis, dia tidak membenarkan ahli keluarganya mengambil ubat tahan sakit tanpa nasihat doktor.
"Saya takut mereka pun mengikut jejak langkah saya, kalau ubat macam Panadol tak apa lagi, kalau ubat tahan sakit yang lebih kuat saya memang akan buang terus," katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Buah Pinggang KMC, Dr Syed Faisal Taha berkata, ubat tahan sakit sering menjadi 'ketagihan' dalam kalangan masyarakat disebabkan kesannya yang cepat menghilangkan sakit.
"Kalau makan sekali dua tidak ada masalah, yang kita risau ambil dalam tempoh yang lama tanpa kawalan dan nasihat doktor.
"Sampaikan sakit apa pun semua makan ubat tahan sakit. Ada juga sesetengah pesakit gout, takut nak makan ubat gout kononnya boleh rosakkan buah pinggang, jadi ambil ubat tahan sakit juga," katanya
Jelas Dr Syed Faisal, selain ubat tahan sakit, perlu dielakkan juga adalah ubat-ubatan tradisional yang tidak diketahui kandungannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!