Peragut dijel enam bulan
KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang ditahan polis atas kesalahan meragut seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 Oktober di mana seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun berjaya ditahan dengan bantuan orang awam.
Menurutnya, ketika ditahan polis turut merampas dua utas rantai emas bernilai antara RM8,000 dan RM15,000 yang dicuri dari dalam bangunan kedai menjual barang kemas di Plaza Kota Tinggi.
"Difahamkan ketika kejadian suspek berpura-pura ingin membeli barang kemas tersebut sebelum melarikan diri.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes curi dalam bangunan dan suspek kemudiannya dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Selasa serta dijatuhkan hukuman penjara enam bulan,” katanya.
Polis turut mengesahkan tiada senjata berbahaya ditemui daripada suspek ketika ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis.
Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan dua kes curi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan saringan air kencing negatif dadah.
Pada Selasa, tular rakaman video di aplikasi TikTok berhubung insiden ragut berkenaan.
Video berdurasi 1:01 minit itu memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek dipegang tiga lelaki sementara seorang wanita dipercayai mangsa ragut cuba merakam wajah suspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!