Tidak mungkin Malaysia simpati kepada Israel - Nazri Aziz

Mohamed Nazri Aziz
Mohamed Nazri Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dan rakyat Malaysia yang waras tidak mungkin sama sekali akan meluahkan rasa simpati terhadap Israel, kata Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika dihubungi pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menyatakan rasa kurang senang Washington terhadap beberapa kenyataan keras Malaysia terhadap Israel.

Ketika ditanya pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat adakah mungkin Malaysia akan menyatakan rasa simpati terhadap nasib rakyat Israel, Mohamed Nazri menegaskan simpati Malaysia adalah hanya untuk Palestin.

"Negara-negara kuasa besar tidak pernah menyatakan rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak dan warga tua Palestin yang berpuluh tahun menderita akibat tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.

"Mana mungkin Malaysia akan memberikan simpati kepada pihak yang bertindak tanpa perikemanusiaan seperti rejim Israel," katanya.

Pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat juga turut mempersoalkan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap Hamas.

Mohamed Nazri menegaskan sokongan Malaysia terhadap Hamas tidak sewajarnya dipertikaikan kerana parti tersebut merupakan pilihan rakyat Palestin di Gaza.

"Malaysia menghormati sokongan rakyat Palestin di Gaza yang telah memilih Hamas sebagai pemerintah mereka.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada sebab untuk Malaysia tidak bersama dengan rakyat Palestin dalam usaha mereka menuntut hak yang telah dirampas Israel.

"Malaysia juga tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan mana-mana pihak atas sokongan yang diberikan kepada Hamas dan Palestin," katanya.

Mohamed Nazri juga memberitahu pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Malaysia akan sentiasa bersolidari dengan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Tegas beliau, dalam apa juga situasi Israel yang seharusnya segera mengentikan pengeboman di Gaza dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir.

"Hanya mereka yang mengalami masaah mental sahaja akan menyokong apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

"Israel tidak perlu play victim dalam perkara ini kerana tindakan mereka selama ini jauh lebih ganas dan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Beliau turut menegaskan kepada pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa kedutaan Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan memberi berbagai alasan ketika Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir cuba menghubungi setiausaha negara tersebut, Anthony J. Blinken.

"Alasan-alasan yang diberikan oleh Washington kepada Wisma Putra adalah sangat lemah.

"Mereka seperti mahu memperkecilkan Malaysia dengan hanya mahu timbalan Blinken berurusan dengan (Datuk Seri) Zambry," katanya lagi. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!