Peningkatan ketara Harimau Malaya 'menakutkan' saya - Pan-gon

Pan-gon pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Selasa. - Foto Bernama
Pan-gon pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui peningkatan ketara ranking skuad bimbingannya dalam tempoh singkat, adalah satu yang ‘mengejutkan’ sehingga beliau tidak tidur lena.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia mendaki 20 anak tangga daripada kedudukan ke-154 meningkat kepada ke-134, kurang dua tahun selepas Pan-gon dilantik ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Januari tahun lepas.

"Pasukan menunjukkan peningkatan yang hebat, dan kita capai ranking ke-134 sangat cepat. Sudah tentu, harapan sangat tinggi dan saya akui agak takut sehingga tidak dapat tidur.

"Saya malah tidak dapat tidur sebelum aksi final (berdepan Tajikistan) kerana semua fikir kita akan menang (Pestabola Merdeka 2023),” katanya pada sidang media pascaperlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 menyaksikan Malaysia tewas 0-2 kepada Tajikistan, semalam.

Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata kekalahan perit kepada skuad bimbingan Petar Segrt itu juga menjadi ‘ujian kesetiaan’ penyokong setia bola sepak tanah air terhadap pasukan kebangsaan.

Justeru, Pan-gon meminta agar rakyat Malaysia termasuk media tempatan untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan walau dalam apa jua keadaan dan keputusan diperoleh.

"Inilah masanya kita menunjukkan sokongan kepada para pemain dan diharapkan, media dan peminat boleh lakukan perkara sama. Jika mahu mengkritik, kritiklah saya (bukan pemain),” kata Pan-gon yang kecewa tidak dapat menebus kekalahan skuad negara kepada Tajikistan, tahun lepas.

Dalam aksi Piala Raja Thailand tahun lepas, skuad Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Tajikistan menerusi sepakan penalti selepas terikat 0-0 sehingga tamat masa rasmi perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pan-gon berharap skuad Harimau Malaya segera bangkit lebih kuat pada pusingan kedua Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2026 bulan depan.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan D apabila melayan kunjungan Kyrgyzstan pada 16 Nov sebelum berlepas ke Taiwan berdepan tuan rumah pada 21 November. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!