Serangan di hospital tidak berperikemanusiaan - WHO

Kanak-kanak berlindung di dalam sebuah ambulans di Hospital Shifa susulan serangan udara tentera rejim Zionis Israel ke atas Hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza. - Foto Reuters
Kanak-kanak berlindung di dalam sebuah ambulans di Hospital Shifa susulan serangan udara tentera rejim Zionis Israel ke atas Hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza. - Foto Reuters
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengutuk serangan ke atas Hospital Al-Ahli al-Arabi di utara Semenanjung Gaza dan menyifatkannya insiden paling berdarah sejak Israel melancarkan serangan balas dalam perang dengan Palestin ini.

Menurut Pengarah WHO Wilayah Mediterranean Timur, Ahmed Al-Mandhari, hospital dan rumah sakit tidak sepatutnya menjadi sasaran serangan kerana ia jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau turut menegaskan serangan ke atas hospital berkenaan telah menyebabkan ratusan terkorban dan cedera.

"Arahan pemindahan adalah mustahil untuk dilaksanakan memandangkan keadaan semasa tidak selamat. Keadaan sangat kritikal dengan jumlah pesakit yang ramai, dan kekurangan ambulans, kakitangan, kapasiti katil sistem kesihatan, dan tempat perlindungan alternatif bagi mereka yang dipindahkan.

"WHO menyeru perlindungan serta-merta buat orang awam yang memerlukan rawatan. Operasi pemindahan mesti perlu dilaksanakan segera.

"Undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dipatuhi, ia termasuk apa jua bentuk penjagaan kesihatan mesti dilindungi dan tidak boleh diserang," katanya.

Sementara itu Ketua Program Kecemasan WHO, Mike Ryan, yang berpengkalan di Switzerland menyifatkan tindakan Israel sebagai tidak berperikemanusiaan.

"Penjagaan kesihatan bukan sasaran. Ia tidak sepatutnya menjadi sasaran sesiapa yang berkonflik. Itu termaktub dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kita melihat perkara ini dilanggar lagi dan lagi dan lagi sepanjang minggu lepas dan ia perlu berhenti. Ia mesti berhenti. Ia tidak berperikemanusiaan," katanya.

Dalam pada itu WHO melihat serangan konsisten terhadap penjagaan kesihatan di wilayah Palestin yang diduduki adalah kritikal dan perlu untuk dihentikan.

Sehingga Sabtu lalu, pertubuhan antarabangsa itu merekodkan 115 serangan ke atas fasiliti kesihatan sahaja.

51 daripadanya di Gaza, dengan 15 pekerja kesihatan terbunuh ketika sedang bertugas manakala 27 cedera, dan 24 kemudahan kesihatan juga rosak sepenuhnya dan gagal beroperasi. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!