Perancis benam Scotland
PERANCIS bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Scotland 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Lille pada awal pagi Rabu.
Sepak mula perlawanan tersebut ditangguhkan selama 10 minit susulan langkah keselamatan selepas dua warga Sweden ditembak mati dalam serangan di Brussels pada Selasa sebelum perlawanan kelayakan Euro 2024 antara Belgium dan Sweden.
Billy Gilmour meletakkan Scotland di hadapan pada minit ke-11, namun pemain pertahanan Perancis, Benjamin Pavard menyamakan kedudukan lima minit kemudian.
Pavard sekali lagi meledak gol dan muncul pemain pertama Perancis menjaringkan dua gol menerusi tandukan pada perlawanan sama sejak Zinedine Zidane pada final Piala Dunia 1998, melayangkan badan untuk menanduk masuk hantaran silang Kylian Mbappe.
“Saya rasa saya boleh menjaringkan gol malam ini. Seseorang memberitahu saya 'anda akan menjaringkan gol' dan saya mendapat dua go, jadi ia lebih baik," katanya.
Mbappe, yang menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 di Belanda pada Jumaat lalu untuk mengesahkan kelayakan ke Euro 2024, menjaringkan gol ketiga untuk tuan rumah menerusi sepakan penalti.
Kingsley Coman menjaringkan gol keempat ketika berbaki 20 minit selepas menyudahkan bola susulan percubaan Griezmann yang terkena palang.
Perancis akan melengkapkan kempen kelayakan Euro 2024 mereka dengan perlawanan menentang Gibraltar dan Greece bulan depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!