GOP tolak Jim Jordan jadi Speaker Dewan Perwakilan AS

Jordan gagal meraih 217 undi diperlukan untuk merebut jawatan Speaker Dewan Perwakilan AS. - Foto: Agensi
Jordan gagal meraih 217 undi diperlukan untuk merebut jawatan Speaker Dewan Perwakilan AS. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) berdepan 'kekacauan' politik sekali lagi apabila Dewan Perwakilan gagal melantik Speaker baharu pada Selasa.

Menerusi pengundian pusingan pertama, kira-kira 20 anggota Parti Republikan (GOP) menolak pencalonan Jim Jordan untuk menggantikan Kevin McCarthy yang disingkirkan pada awal bulan lalu.

Beliau bagaimanapun meraih sokongan 200 anggota GOP yang lain manakala kesemua 212 anggota Parti Demokrat menyokong Hakeem Jeffries untuk memegang jawatan penting itu.

Jordan dalam satu kenyataan memaklumkan anggota GOP akan melakukan pengundian pusingan seterusnya pada hari sama, namun terpaksa dibatalkan kerana berdepan bantahan puak penentangnya.

Dewan Perwakilan dijadualkan bersidang semula pada jam 11 pagi (waktu tempatan) pada Rabu untuk proses pengundian baharu, namun masih tidak jelas sama ada Jordan akan meraih sokongan.

Kebuntuan itu adalah insiden kedua sejak 1923 selepas Dewan Perwakilan gagal mencapai kesepakatan untuk melantik Speaker.

Pada Januari lalu, pelantikan McCarthy turut memerlukan 15 pusingan undian sebelum kata putus dicapai.

Dewan Perwakilan AS kini 'lumpuh' kerana ketiadaan Speaker selama dua minggu hingga menyebabkan ia tidak dapat meluluskan sebarang undang-undang terutamanya pakej bantuan untuk operasi ketenteraan Israel ke atas Genting Gaza yang kononnya disifatkan sebagai keperluan mendesak. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!