DBKL tegur pengguna Taman Tasik Titiwangsa
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan orang awam supaya tidak mengabaikan anak-anak ketika menggunakan kemudahan di Taman Tasik Titiwangsa.
Peringatan mesra itu dikeluarkan oleh Unit Media DBKL melalui status Facebook DBKL pada 19 Disember lalu yang merujuk kepada gambar tular permainan buaian 'pendulum' yang digunakan secara salah dan membahayakan penggunanya.
Unit Media DBKL pada statusnya berkongsi terjemahan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu notis tatacara penggunaan yang ditampal pada buaian tersebut.
"Buaian direka untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun sahaja, hanya dua kanak-kanak sahaja boleh duduk di buaian pada satu masa dan risiko penggunaan adalah di bawah tanggungjawab sendiri.
"Jangan bermain kasar, gunakan dengan berhemah, pakai kasut yang sesuai dan perlu pengawasan ibu-bapa atau penjaga pada setiap masa," tulis pentadbir Facebook itu.
Di akhir perkongsian tersebut, DBKL turut meminta tatacara itu dipatuhi dan diambil peduli oleh penjaga.
Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen yang turut berkongsi pandangan mengenai aspek keselamatan dan cadangan tambah baik.
"Bagi saya pihak DBKL boleh buat papan notis besar agar ibu-bapa peka dan nampak. Notis kecil macam tu tak sempat mereka baca, anak-anak dah bergayut semua," tulis, Wulan Atc Tomcaterz.
Pemilik akaun Mohd Imran mencadangkan DBKL memperketatkan pengawasan seperti pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau pengawal.
"Memang kena belanja lebih untuk pastikan pengunjung dapat gunakan taman ini dengan berhemah. Jika tidak, memang habis fasiliti yang baru ni.
"Nak harapkan pengunjung lebih disiplin, tak semua macam tu. Lain orang lain ragam. Dulu kita minta macam-macam DBKL buat. Bila dah ada fasiliti tu, jagalah elok. Esok-esok nak main lagi. Takkan nak kenakan bayaran pula?" tulis Mohd Imran.
Taman Tasik Titiwangsa kembali dibuka sejak 15 Disember lalu bagi membolehkan orang ramai beriadah.
Taman awam itu ditutup lebih setahun untuk kerja-kerja menaik taraf dan sebahagian projek River of Life.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!