Sultan Kedah zahir simpati kepada rakyat Palestin
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa simpati mendalam kepada rakyat Palestin yang telah menanggung penderitaan tidak berkesudahan dan mencari keadilan menjangkau banyak generasi.
Sehubungan itu, baginda berharap badan pengurusan zakat di seluruh dunia bekerjasama dalam mencari kaedah terbaik dan efisien dalam meringankan penderitaan rakyat Palestin yang tidak berkesudahan.
"Dalam hal ini, prinsip Zakat dan Wakaf adalah asasnya untuk membantu mereka yang memerlukan bukan sahaja di Palestin tetapi di seluruh dunia.
"Oleh itu, saya menantikan idea dan resolusi inovatif yang mungkin timbul daripada forum ini untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan," titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-12 Forum Zakat dan Wakaf 2023, di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sultan Sallehuddin bertitah, persidangan yang menghimpunkan cendekiawan zakat dan wakaf itu diharap dapat mencetuskan idea dan resolusi yang inovatif termasuk menyentuh isu keterjaminan makanan yang menjadi permasalahan di peringkat global.
Titah baginda lagi, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang dinaungi baginda sebagai contohnya telah memperkenalkan Skim Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) bagi mendepani cabaran keterjaminan makanan.
Baginda menyifatkan, ia usaha terpuji dijalankan LZNK dalam menangani keselamatan makanan di peringkat negeri dan negara.
"Inisiatif mereka telah memainkan peranan penting dalam memastikan dan mendorong rantaian keselamatan makanan yang mampan," titah Sultan Sallehuddin.
Baginda berpandangan inisiatif ini memberi tumpuan dalam memastikan rantaian bekalan pengeluaran beras yang mampan, memberi manfaat kepada asnaf, dan menunjukkan komitmen belas kasihan, dan rasa tanggungjawab yang mendalam institusi zakat.
Sehubungan itu, Sultan Sallehuddin turut berharap persidangan bertemakan "Feeding the World, Zakat and Wakaf for Sustainable Global Food Security" menjadi platform perbincangan amalan baik institusi zakat dan pembentukan perkongsian ilmiah.
"Beta mahu usaha kita dapat diterjemahkan ke dalam tindakan nyata, untuk menangani cabaran mendesak yang menanti, dengan matlamat utama untuk membasmi kebuluran dan kemiskinan," titah baginda.
Tambah baginda, kehadiran cendekiawan zakat dan wakaf seluruh dunia di Kedah itu melambangkan kekuatan prinsip Zakat dan Wakaf dalam memperbaiki kehidupan dan meringankan penderitaan pada skala global.
Dalam perkembangan sama, baginda bertitah, forum antarabangsa di Kedah itu merupakan satu peristiwa yang luar biasa, untuk mengingati kembali perjalanan luar biasa Kedah dalam pengurusan zakat yang bermula lebih 350 tahun dahulu.
"Dari segi sejarah, Kedah adalah negeri pertama di Semenanjung Tanah Melayu, yang menggubal undang-undang kutipan zakat dan menyeru rakyatnya membayar yuran mereka," titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, LZNK telah berjaya mengantarabangsakan pentadbiran zakat setelah lebih tiga abad pemantapan dan penambahbaikan zakat itu.
Sebelum itu, seramai 500 peserta dari seluruh dunia terdiri daripada pelbagai kepakaran mengambil bahagian dalam persidangan bertujuan memperkukuh peranan insitusi zakat dan wakaf bersandarkan kepada undang-undang syariah.
Persidangan Antarabangsa Ke-12 Forum Zakat dan Wakaf 2023 itu dihoskan LZNK berlangsung selama empat hari bermula 17 sehingga 20 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!