Keluarga berhasrat bawa pulang jenazah Muhammad Izzat

Muhammad Hasmalizam (tengah) bersama isteri Allahyarham Muhammad Izzat, Nurul Diyana ditemui pemberita di rumah mangsa di Kampung Peramu pada Rabu.
Muhammad Hasmalizam (tengah) bersama isteri Allahyarham Muhammad Izzat, Nurul Diyana ditemui pemberita di rumah mangsa di Kampung Peramu pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Ahli keluarga Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28 mangsa pemerdagangan manusia yang meninggal dunia dalam tahanan Imigresen di Myanmar, 14 Oktober lalu berhasrat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di sini.

Abang mangsa, Muhammad Hasmalizam, 45, berkata, pada awalnya ahli keluarga mengambil keputusan untuk kebumikan jenazah adiknya itu di Yangon.

Menurutnya, disebabkan tiada pengesahan rasmi daripada pegawai perubatan dari Myanmar berhubung punca kematian adiknya itu, mereka menukar keputusan untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

"Selain untuk dikebumikan, kami juga mahu mengetahui punca sebenar kematiannya kerana ragu apabila dikatakan akibat serangan jantung.

"Saya bersama dua ahli keluarga akan ke Yangon, Jumaat ini bagi urusan membawa pulang jenazah," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang di Kampung Peramu dekat sini pada Rabu.

Turut serta pada lawatan itu, Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Dalam pada itu, Muhammad Hasmalizam berkata, bedah siasat akan dilakukan di sebuah hospital di Yangon sebelum jenazah dibenarkan dibawa pulang ke tanah air.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Hasmalizam (kiri) bersama isteri Allahyarham Muhammad Izzat, Nurul Diyana ditemui pemberita ketika kunjungan Chun Kuang (dua dari kanan) dan Daniel Khoo di rumah mangsa di Kampung Peramu pada Rabu.
Muhammad Hasmalizam (kiri) bersama isteri Allahyarham Muhammad Izzat, Nurul Diyana ditemui pemberita ketika kunjungan Chun Kuang (dua dari kanan) dan Daniel Khoo di rumah mangsa di Kampung Peramu pada Rabu.

"Selepas tiba di negara ini, bedah siasat kali kedua akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

"Jika benar kematian Muhammad Izzat disebabkan sakit jantung, kami reda walaupun arwah tidak menghidap sebarang penyakit sebelum ini," katanya.

Dia berkata, keluarganya dimaklumkan wakil Kedutaan Malaysia di Myanmar akan menguruskan proses membawa jenazah dari Tachileik ke Yangon.

"Jenazah dijangka tiba di Yangon esok (Khamis) manakala saya bersama adik dan anak saudara akan tiba di Yangon, Jumaat ini.

"Kami harap segala urusan proses bedah siasat dan pengurusan membawa pulang jenazah akan dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, Chun Kuang berkata, pihaknya akan membantu mendapatkan sumbangan daripada kerajaan Pahang bagi menampung kos membawa pulang jenazah Muhammad Izzat yang dianggarkan mencecah AS$6,000 atau RM28,440.

"Sumbangan yang berjaya dikumpulkan setakat ini RM7,000.

"Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa," katanya.

Allahyarham Izzat dilaporkan menaiki penerbangan ke Bangkok pada 7 Oktober lalu sebelum diculik ke Myanmar melalui jalan darat pada 11 Oktober.

Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh wakil pertubuhan kemanusiaan, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukur, 27, tahun dan dua anak lelaki Muhammad Nu’man dan Muhammad Naqib Anaqi masing-masing berusia empat dan enam tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!