MyLesen B2: Mampu cari rezeki lebih jauh, bantu keluarga
KOTA BHARU - Seorang tukang rumah dari Kampung Pantai Dasar Sabak kini sudah boleh menunggang motosikal lebih jauh untuk mencari rezeki selepas memperoleh lesen motosikal melalui Program MyLesen B2.
Zulkifli Ismail, 53, berkata, sebelum ini dia tidak dapat keluar dari kampungnya dengan menunggang motosikal kerana bimbang disaman pihak berkuasa.
Bapa kepada lima anak berusia 15 hingga 27 tahun itu mengakui tidak mampu membayar kos keseluruhan lesen berkenaan kerana tuntutan kewangan membesarkan anak-anak.
"Jadi saya hanya bekerja di sekitar kampung kerana memikirkan sumber kewangan tidak mampu untuk membayar saman," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Lesen PDL kepada Peserta MyLesen pada Rabu.
Zulkifli antara 87 peserta yang lulus ujian memandu melalui program hasil saringan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Akademi Memandu Nasrom (AMN).
Majlis berkenaan dirasmikan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
Tukang rumah itu juga bersyukur kerana semuanya berjalan lancar sehingga dia lulus ujian dan latihan.
Sementara itu, Muhammad Rahimi Ismail, 32, gembira kerana akhirnya memperoleh lesen B2 selepas hampir 10 kali disaman pihak berkuasa kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
Muhammad Rahimi yang bekerja sebagai mekanik berasa bertuah kerana memperoleh lesen secara percuma, sekali gus dapat mengurangkan bebannya berikutan perlu menyara keluarga termasuk empat anak berusia setahun sehingga lapan tahun.
"Selepas ini saya tidak bimbang lagi menunggang motosikal kerana sudah ada lesen," katanya.
Bagi Mohd Aidilfitri Lokman, 22, program berkenaan memberi peluang dia lebih aktif membantu ibunya menjual nasi lemak di sebuah gerai di bandar ini.
Mohd Aidilfitri memberitahu, dia dimaklumkan mengenai program itu oleh rakan sekampung.
"Saya terus datang ke Sekolah Memandu Nasrom, Kedai Lalat untuk mengambil borang," katanya.
Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu bersyukur kerana terpilih dan berjaya memperoleh lesen sekali gus dapat membantu ibunya menghantar nasi lemak di gerai menggunakan motosikal arwah bapanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!